Alex Marquez sah juara dunia Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang
Bernama
November 3, 2019 18:28 MYT
November 3, 2019 18:28 MYT
Pelumba Sepanyol, Alex Marquez mengikuti jejak abangnya, Marc Marquez, apabila mengesahkan gelaran juara dunia kelas Moto2 bagi musim 2019 pada pusingan ke-18 MotoGP Dunia di Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, pada Sabtu.
Biarpun, menamatkan saingan di belakang juara pelumba Afrika Selatan, Brad Binder tetapi kedudukan kedua di Sepang sudah cukup buat Alex, 23, dinobatkan juara dunia Moto2 apabila mengumpul 262 mata manakala Marc sudah merangkul gelaran juara dunia kelas MotoGP lebih awal di GP Thailand, bulan lalu.
Pelumba pasukan EG 0,0 Marc VDS itu, yang memulakan perlumbaan di petak utama, ketinggalan 0.758s di belakang musuh utamanya, Binder daripada Red Red Bull KTM Ajo yang mencatatkan masa 38 minit 07.843s.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Dynavolt Intact GP, Thomas Luthi dengan catatan masa 38:10.526s.
Pencapaian adik beradik itu mengulangi sejarah tahun 2014 apabila ALex menjuarai kelas Moto3 manakala Marc merangkul dunia keduanya dalam kelas MotoGP.
Alex juga menjadi pelumba Sepanyol kelima menjuarai gelaran Moto2 dunia selepas abangnya Marc, Toni Elias, Pol Espargaro dan Tito Rabat.
" Hari ini, agak sukar untuk mengawal jentera Kalex di litar dan pada selekoh terakhir ia benar-benar sukar dipercayai. Saya tidak tidak tahu apa yang nak dikatakan sekarang kerana amat letih.
"Saya amat gembira...bagaikan satu mimpi yang menjadi kenyataan," kata Alex.
Kedudukan Alex tidak mampu lagi dipintas pelumba lain selepas pencabar terdekat, Binder, yang memenangi empat perlumbaan musim ini, menghuni tangga kedua dengan 234 mata sebelum musim 2019 melabuh tirai di Valencia, Sepanyol, 17 Nov ini.
-- BERNAMA