'Alex Ferguson bukan sekadar pengurus bola sepak' - Yorke
Bernama
Mac 10, 2018 05:00 MYT
Mac 10, 2018 05:00 MYT
Legenda Manchester United, Dwight Yorke menyifatkan Sir Alex Ferguson memainkan peranan penting dalam membentuknya menjadi antara pemain disegani bagi kelab London itu.
Penyerang berusia 46 tahun yang menjaringkan 52 gol ketika beraksi bersama skuad Red Devils antara 1998-2002 itu, berkata Ferguson yang menguruskan kelab Liga Perdana Inggeris itu antara 1986-2013, lebih daripada sekadar seorang pengurus bola sepak.
"Saya bukan sahaja beraksi dengan pemain-pemain terbaik pada masa itu, tetapi bekerjasama dengan pengurus yang hebat, dan ia pengalaman cukup hebat bagi saya.
"Dibimbing oleh Ferguson antara detik terbaik dalam karier bola sepak saya yang tidak akan dilupakan," kata Yorke ketika Sesi Bertemu Legenda kelab berkenaan dengan peminat Malaysia, di sini pada Sabtu.
Sesi berkenaan dibawa oleh syarikat berpangkalan di Jepun, Epson yang merupakan Rakan Kongsi Peralatan Pejabat Rasmi Manchester United.
Sementara itu, Pengarah Urusan Epson Malaysia, Daisuke Hori berkata sesi tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan bagi menyokong perkembangan belia dalam bidang diceburi mereka.
"Lebih penting, kita memberi peluang kepada anak-anak Kelab Bola Sepak Tunas Lagenda kita untuk bertemu dengan legenda ini dan menjadi inspirasi kepada mereka dalam memasang impian besar dan menjadi cemerlang, sekali gus mendorong mereka mencapai impian tersebut," kata Hori.
-- BERNAMA