Alderweireld tidak kecewa masih bersama Tottenham
Astro Arena
September 12, 2018 09:31 MYT
September 12, 2018 09:31 MYT
BENTENG Tottenham Hotspur, Toby Alderweireld, tidak kecewa melihat dirinya masih bersama pasukan walaupun dia dilaporkan menjadi sasaran Manchester United ketika jendela perpindahan yang lalu.
Alderweireld tampil dalam 14 aksi Liga Perdana Inggeris bagi musim 2017/18 tatkala dia banyak mengalami kecederaan dan tidak menjadi pilihan pengendali Spurs, Mauricio Pochettino.
Namun, walaupun memasuki tahun terakhir dalam kontrak bersama Spurs, dia menjadi pilihan utama pasukan apabila membarisi kesebelasan utama pasukan dalam tiga perlawanan, termasuk sewaktu menundukkan United 3-0 di Old Trafford.
United dikatakan menjadi antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Alderweireld tetapi dia menafikan berusaha untuk melengkapkan perpindahan itu, sambil Pochettino memberikan maklumat kepada media mengenai masa depan benteng Belgium itu pada bulan lalu.
"Saya pantas memahami situasi bersama penasihat bahawa saya akan kekal bersama Spurs," kata Alderweireld.
"Namun, saya tidak boleh bercakap tentang segala perkara yang dibincangkan oleh Pochettino dalam sidang media.
"Malah, menjadi satu kejayaan buat saya apabila kembali membarisi kesebelasan utama pasukan. Saya bekerja keras untuk mendapatkannya. Ia juga tidak membuatkan saya kecewa apabila gagal berpindah. Saya tidak mahu berhijrah, tidak kira berapa jumlah bayarannya.
"Orang ramai berpendapat saya mahu meninggalkan pasukan dan itu tidak benar. Tidak semua yang diperkatakan oleh media menjadi sesuatu yang betul. Saya hanya cuba membantu Spurs melalui kemampuan yang dimiliki.
"Saingan Piala Dunia bagus buat saya. Saya bekerja keras dan membuktikan apa yang saya mampu lakukan. Kini, saya menikmati kelahiran anak perempuan saya, Ayla, dan sentiasa berbesar hati apabila beraksi buat Belgium. Saya gembira pada semua peringkat."
#bola sepak
#Manchester United
#Mauricio Pochettino
#perpindahan
#Toby Alderweireld
#Tottenham Hotspur