Al-Ittihad buat rekod dunia RM1.4 bilion untuk beli Salah
Sinar Harian
Februari 14, 2024 11:30 MYT
Februari 14, 2024 11:30 MYT
PASUKAN gergasi Arab Saudi, Al-Ittihad dilaporkan tidak berputus asa untuk menandatangani bintang Mesir, Mohamed Salah dan bersedia membuat tawaran rekod dunia untuk mendapatkan khidmatnya.
Menurut The Athletic, Al-Ittihad merancang untuk menawarkan Liverpool €235 juta (RM1.4 bilion) untuk pemain Mesir berusia 31 tahun itu yang kontraknya akan tamat pada musim panas 2025.
Bayaran itu akan menjadikan Salah pemain termahal dalam sejarah bola sepak, mengatasi perpindahan Neymar ke PSG pada 2017, yang menelan belanja sebanyak €222 juta.
Laporan lanjut mendedahkan bahawa gaji Salah di Ittihad adalah sekitar €85 juta (RM512 juta), menjadikannya lebih empat kali ganda gaji semasa di Anfield.
Pemain antarabangsa Mesir itu banyak dikaitkan dengan perpindahan ke Al-Ittihad pada musim panas lalu, tetapi perjanjian tidak menjadi kenyataan.
Pemenang tiga kali Kasut Emas Liga Perdana Inggeris telah bermain 27 perlawanan musim ini untuk Liverpool, menjaringkan 18 gol dan menyumbang sembilan bantuan gol.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian