Al-Hilal sambar Bounou
Sinar Harian
Ogos 18, 2023 12:18 MYT
Ogos 18, 2023 12:18 MYT
AL-HILAL berjaya menandatangani penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou dari Sevilla dengan kontrak tiga tahun, kata kelab Liga Pro Saudi itu pada Jumaat.
Syarat perjanjian itu tidak didedahkan tetapi media Sepanyol melaporkan Sevilla akan menerima 21 juta euro (RM106 juta).
Bounou, 32, merupakan penjaga gol utama Sevilla yang telah membantu pasukan Sepanyol itu memenangi dua kejuaraan Liga Europa dan turut cemerlang bersama Maghribi untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu di Qatar.
Bounou dilaporkan menjadi sasaran Real Madrid dan Bayern Munich sebagai pengganti sementara Thibaut Courtois dan Manuel Neuer yang cedera.
Kelab paling berjaya di Arab Saudi dan Asia, Al-Hilal telah memenangi 66 trofi termasuk 18 kejuaraan liga domestik dan empat mahkota Liga Juara-Juara Asia.
Al-Hilal minggu ini juga telah menandatangani penyerang Brazil, Neymar dari Paris St Germain (PSG).
Kelab itu turut melantik semula jurulatih Portugis Jorge Jesus dengan kontrak setahun dan menandatangani bekas kapten Wolverhampton, Wanderers Ruben Neves; Sergei Milinkovic-Savic dari Serbia; pemain pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly dan penyerang Brazil Malcom.
Al-Hilal menjadi tuan rumah kepada Al-Feiha dalam perlawanan seterusnya Liga Pro Saudi pada Ahad.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian