Al Hilal mahu tamatkan kontrak Neymar
Sinar Harian
November 7, 2024 14:19 MYT
November 7, 2024 14:19 MYT
KELAB Liga Pro Saudi, Al Hilal dilaporkan mahu menamatkan kontrak Neymar selepas bintang Brazil itu mengalami masalah kecederaan berterusan.
Pemain berusia 32 tahun itu kembali beraksi bersama Al Hilal selepas berehat selama setahun akibat kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) ketika bermain untuk Brazil, Oktober tahun lalu.
Namun, dia sekali lagi mengalami kecederaan pada Selasa dan terpaksa digantikan selepas 29 minit masuk sebagai pemain gantian dalam kemenangan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) ke atas Esteghlal.
Bekas bintang Barcelona dan PSG itu menyatakan ia hanya kekejangan paha kanannya, tetapi laporan media Brazil mendakwa dia kemungkinan diketepikan sekurang-kurangnya tiga minggu.
Menurut outlet Brazil UOL, Al-Hilal kini sedang mempertimbangkan untuk menamatkan kontrak Neymar pada Januari.
Laporan itu mendakwa, kelab itu semakin meragui peranan yang boleh dimainkan Neymar dalam enam bulan terakhir musim ini, dengan perjanjian 130 juta pound setahun akan tamat pada penghujung saingan liga.
Neymar kini merupakan salah seorang daripada lapan pemain asing berusia lebih 21 tahun dalam skuad Al-Hilal, meletakkan kelab itu pada had import luar negara di bawah peraturan Liga Pro Saudi.
Penamatan kontraknya akan menawarkan peluang kepada Neymar untuk kembali ke Brazil dan dia telah dikaitkan dengan menyertai semula Santos.
Dia juga dilaporkan akan menyertai semula bekas rakan sepasukannya Lionel Messi dan Luis Suarez di kelab MLS Inter Miami, dengan ketiga-tiga mereka telah membentuk rangkaian serangan terbaik semasa beraksi di Barcelona. -- Sinar Harian