Aktiviti Hari Sukan Negara dapat sambutan menggalakkan - Khairy

Bernama
Oktober 8, 2016 10:55 MYT
Khairy berkata untuk sambutan utama yang berlangsung di Putrajaya sahaja acara itu membabitkan penyertaan kira-kira 30,000 orang. - Foto Astro AWANI
Penyertaan rakyat Malaysia dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2016 sangat menggalakkan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
"Saya belum boleh mengumumkan jumlah penyertaan keseluruhan kerana saya perlu melihat laporan pemantauan yang dijalankan oleh Sekretariat Hari Sukan Negara.
"Secara atas kertas, boleh dikatakan mencapai sasaran 7 juta tetapi saya perlu mendapat laporan terperinci awal pagi esok dan hanya boleh diumumkan esok," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Hari Sukan Negara 2016 di sini hari ini.
Menurut beliau sekiranya jumlah 7 juta itu dapat dicapai, sasaran utama Kementerian Belia dan Sukan untuk tahun ini berjaya mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI).
"Keyakinan untuk menambah jumlah sasaran bagi tahun depan, sudah pasti akan meningkat," katanya.
Sekretariat Hari Sukan Negara 2016 (HSN2016) menyasarkan sebanyak 7 juta orang iaitu 20 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia akan menyertai program-program yang telah diatur di seluruh negara berbanding 4.2 juta orang yang turun padang menyertai program yang sama tahun lepas.
"Saya melihat perlu ada peningkatan dalam tiap-tiap tahun dalam penyertaan Hari Sukan Negara kerana ia menunjukkan peningkatan kesedaran betapa pentingnya sukan dalam pembangunan negara.
"Hari Sukan Negara ini perlu dijadikan pencetus supaya rakyat hari-hari bersukan dan bukan pada Hari Sukan Negara sahaja. Janganlah kita perlu menunggu Hari Sukan Negara untuk kita turun bersukan," katanya.
Khairy berkata untuk sambutan utama yang berlangsung di Putrajaya sahaja acara itu membabitkan penyertaan kira-kira 30,000 orang.
"Setakat ini semua program yang dirancang di seluruh negara sedang dijalankan dan berlangsung dengan baik," katanya. -- BERNAMA
#Hari Sukan Negara #Khairy Jamaluddin #KJ #masyarakat bersukan #Najib Razak #Perdana Menteri