Aksi United serba tidak menjadi
Sinar Harian
Mei 13, 2024 12:10 MYT
Mei 13, 2024 12:10 MYT
AKSI Manchester United pada musim ini bagai serba tak kena apabila berdepan risiko gagal layak ke kejohanan Eropah buat kali kedua sejak musim 1989/90.
Malah jurulatih The Reds Devils, Erik ten Hag menjadikan faktor kecederaan para pemain sebagai alasan skuadnya bergelut dengan prestasi.
Kapten Bruno Fernandes, Marcus Rashford, Raphael Varane, Lisandro Martinez, Luke Shaw dan Harry Maguire antara yang tidak beraksi buat skuad United.
"Ia seperti cuba berenang dengan tangan anda diikat di belakang.
"Ini bukan cara yang kami mahukan. United mesti selalu menang, tetapi ketika ini sebagai satu kelab dan pasukan dengan senarai kecederaan yang panjang, kami tidak berada dalam posisi itu," ujar ten Hag.
United kini berada di tempat kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) 32 mata di belakang Arsenal, selepas kekalahan 1-0 kepada The Gunners di Old Trafford awal pagi Isnin sekali gus merupakan kekalahan ke-19 dalam semua pertandingan musim ini.
Sebagai rekod The Reds Devils tidak pernah menamatkan saingan EPL di tempat ketujuh dan ke bawah, ketinggalan tiga mata di belakang Newcastle dan Chelsea dengan berbaki dua perlawanan.
Kegagalan untuk berakhir dalam kelompok tujuh teratas atau memenangi final Piala FA menentang Manchester City akan menyaksikan United terlepas aksi Eropah.
"Amat teruk (jika tidak layak ke Eropah) tetapi itulah situasi yang kami alami sekarang.
"Apabila anda analisis persembahan United, anda boleh lihat kami amat kompetitif," ujar ten hag. - Sinar Harian