Aksi sulung dengan Kemboja medan permulaan buru slot final
Bernama
November 19, 2016 14:18 MYT
November 19, 2016 14:18 MYT
Cabaran skuad Harimau Malaysia memburu slot final pada Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2016 bermula dengan aksi sulung kumpulan B menentang juara pusingan kelayakan, Kemboja di Stadium Thuwunna, Yangon Myanmar, esok.
Rekod pertemuan antara Malaysia dan Kemboja sejak 1956 menunjukkan skuad kebangsaan meraih kelebihan kerana menang 10 kali, tewas dua kali selain mencatatkan satu keputusan seri dalam 13 pertemuan.
Catatan tersebut tidak boleh dijadikan ukuran kerana Kemboja jelas mempamerkan peningkatan ketara di bawah jurulatih dari Korea Selatan, Lee Tae Hoon yang menjadi watak penting membantu negara berkenaan menjuarai pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki di laman sendiri, bulan lepas.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini mengambil jalan selamat dengan mengumumkan badan induk itu mahu skuad kebangsaan melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum mengintai separuh akhir dan juga aksi final yang dijadual berlangsung pada bulan depan.
Namun, adakah sasaran ke final itu secara realistiknya mampu dicapai sekiranya keputusan sembilan aksi persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan sebelum ke Myanmar dijadikan sebagai kayu pengukur?
Daripada sembilan perlawanan tersebut, skuad kebangsaan hanya menang dua kali, seri lima kali selain tewas sebanyak dua kali dan ia sudah cukup menggambarkan bahawa masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
Lebih menyulitkan keadaan, ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee kerap kali 'bereksperimen' dengan mencuba pelbagai gandingan baharu walaupun aksi persahabatan merupakan medan untuk memperbaiki kelemahan di kesemua posisi sama ada di bahagian serangan, tengah mahupun penjaga gol.
Kekalahan 0-3 kepada Indonesia di tempat lawan, 6 Sept lepas merupakan keputusan yang tidak boleh diterima peminat bola sepak tanah air memandangkan pemain skuad Garuda hanya sempat dikumpulkan selama empat hari berbanding Malaysia yang membuat persiapan lebih awal.
Pemilihan 23 pemain pada kali ini turut dipersoalkan peminat tempatan di laman sosial terutamanya pemain veteran, Mohd Safee Sali yang terus diberi kepercayaan menyarung jersi skuad kebangsaan walaupun banyak memanaskan bangku simpanan ketika mewakili juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim.
Peminat tempatan menyifatkan pemain sayap T-Team, Mohd Safawi Rasid lebih layak meraih penampilan pertama pada kejohanan dwitahunan berkenaan kerana menjadi antara watak penting membantu T-Team layak ke separuh akhir Piala Malaysia buat julung kalinya, musim ini.
Cabaran terhebat skuad kebangsaan pada edisi ke-10 kejohanan adalah menyesuaikan diri beraksi di bawah cuaca panas yang dilaporkan mencecah 32 darjah Celsius selain padang rumput di Stadium Thuwunna yang dikatakan tidak memenuhi spesifikasi FIFA untuk dijadikan venue kejohanan bola sepak antarabangsa.
Malaysia dijadualkan menentang Kemboja, Ahad ini dan Vietnam pada 23 Nov ini dan kedua-dua perlawanan berkenaan dijadualkan berlangsung kira-kira 3 petang waktu tempatan (4.30 petang waktu Malaysia) sebelum menentang tuan rumah bersama Myanmar, 26 Nov ini pada 6 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia).
Juara bertahan, Thailand yang mengintai kejuaraan kali kelima pada saingan kali ini, mengetuai cabaran kumpulan A bersama Indonesia, Singapura dan tuan rumah bersama Filipina yang bermula hari ini.
Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada kumpulan A dan B layak ke separuh akhir yang menggunakan format kalah mati.
Untuk rekod, Malaysia hanya sekali muncul juara Piala AFF iaitu pada 2010 menerusi kemenangan agregat 4-2 ke atas Indonesia pada aksi final yang menggunakan format timbal balik. -- Bernama