Aksi persahabatan intensiti tinggi bantu persiapan skuad muda negara ke Piala Asia
Bernama
September 15, 2024 10:30 MYT
September 15, 2024 10:30 MYT
SEPANG: Pengalaman beraksi bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) pada CFA Team China International Friendly Competition 2024 di Changsha, China membantu pasukan B-19 kebangsaan mengharungi cabaran pada saingan Kelayakan Piala Asia B-20 di Dushanbe, Tajikistan pada 21 hingga 29 Sept ini.
Walaupun tewas, ketua jurulatih skuad muda kebangsaan Juan Torres Garrido yakin saingan berintensiti tinggi berdepan lawan lebih berusia telah membentuk kecerdasan taktikal lebih baik dalam diri anak buahnya sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia untuk beraksi dalam perlawanan penting.
"Persediaan ini sangat berguna untuk mempersiapkan para pemain bertanding pada tahap berbeza. Kami lebih terbiasa dengan rentak lebih tinggi kini dan pemain bersedia untuk mengatasi cabaran seperti ini yang ditemui dalam kejohanan besar.
"Apabila menilai aksi persahabatan ini, kami agak berpuas hati secara keseluruhannya. Sudah tentu kami menghadapi kesukaran dalam beberapa perlawanan tetapi itulah pertandingan...apabila anda bermain, anda akan dapat lebih pengalaman," katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Pada aksi berkenaan, skuad B-19 negara tewas 0-2 kepada Uzbekistan, 0-1 kepada China dan 1-2 kepada Vietnam, dengan ketiga-tiga pasukan membariskan pemain B-21 mereka.
Sementara itu, pemain pertahanan negara Ariff Safwan Safri berkata beliau dan rakan-rakan akan terus berjuang walaupun sedar lawan yang menanti di Tajikistan mempunyai kekuatan masing-masing.
Pemain berusia 19 tahun itu percaya pasukan negara boleh memberikan aksi terbaik dengan memberikan penekanan khusus terhadap penyudah yang lebih tajam.
"Kita perlu tingkatkan lagi bahagian penyudah. Kita punya corak permainan dah okey, tapi di bahagian penyudah perlu lebih tajam supaya dapat menjaringkan gol bila ada peluang. Keserasian antara pemain baik cuma mungkin penyerang belum berpeluang menjaringkan gol.
"Perlawanan pertama sangat penting untuk kami sebab bila dapat keputusan yang baik, kita akan lebih yakin untuk aksi seterusnya," katanya.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E, dijadual berdepan Oman pada 21 Sept, Korea Utara (23 Sept), Tajikistan (27 Sept) dan Sri Lanka (29 Sept) dengan kesemua aksi berlangsung di Stadium Republican Central di Dushanbe.
Sepuluh juara kumpulan bersama lima pasukan naib juara terbaik layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di China pada 6 hingga 23 Feb 2025.
-- BERNAMA