Aksi MMA ONE Championship kembali gegarkan ibu negara Disember ini

Haider Yutim
November 15, 2018 18:41 MYT
Jihin telah bertarung dalam dua kejohanan di ONE Championship yang menyaksikan dia menang dalam kedua-dua pertarungan tersebut. - Foto ONE Championship
Bagi peminat sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA), kejuaraan ONE Championship akan kembali menggegarkan ibu negara Disember ini, menampilkan empat jaguh MMA negara.
Kejohanan 'ONE: Destiny Of Champions' itu akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 7 Disember depan.
Ia akan menampilkan atlet-atlet terkenal Malaysia seperti Agilan Thani, Gianni Subba, Jihin Radzuan dan seorang atlet baharu, Mohammed Mahmoud.
Agilan, 22 tahun, merupakan antara petarung pilihan kategori 'welterweight', di mana dia bakal berdepan dengan Kiamrian Abbasov dari Kyrgystan.
Petarung yang diberi jolokan nama 'Alligator' itu pernah bertarung untuk merebut gelaran juara dunia ONE welterweight menentang Ben Askren, tahun lalu namun tewas.
Agilan yang mempunyai rekod kemenangan 9-2, berlatih di bawah jurulatih Belgium, Samer Mrabet di Monarchy MMA.
Dia juga sering berulang-alik ke Amerika Syarikat untuk berlatih di kem MMA terkemuka, Team Quest.
Seorang lagi atlet 'favourite' ialah Gianni Subba, yang akan berdepan dengan petarung China, Ma Hao Bin.
Petarung berusia 25 tahun itu telah membina reputasinya sebagai salah seorang atlet MMA paling berbakat di Malaysia.
Dia menghabiskan waktu kecilnya di Hawaii dan Kuala Lumpur, namun terpaksa meninggalkan keluarganya pada usia 16 tahun untuk menyambung pendidikannya di Salt Lake City, Utah, AS.
Di sana, Gianni mula berjinak dengan MMA dan pada 2010, dia berkeputusan untuk kembali ke Malaysia bagi mengejar impiannya sebagai seorang petarung professional.
Dengan rekod kemenangan 9-3, atlet flyweight itu pernah menewaskan ramai petarung hebat termasuk pencabar-pencabar juara dunia.
Selain Agilan dan Gianni, atlet MMA wanita termuda Malaysia, Jihin Razduan akan turut beraksi di pentas ONE Championship itu nanti.
Bekas juara Malaysian Invasion (MIMMA) musim keempat itu akan berdepan Jenny Huang dari Taiwan.
Jihin, 20 tahun, mula berkecimpung dalam seni bela diri ketika berusia 6 tahun menerusi seni bela diri silat.
Dia juga pernah menyertai beberapa pertandingan Muay Thai dan juga pertandingan wushu, Brazilian Jiu-jitsu, kickboxing, dan tinju.
Pada tahun ini sahaja, Jihin telah bertarung dalam dua kejohanan di ONE Championship yang menyaksikan dia menang dalam kedua-dua pertarungan tersebut.
Sementara itu, kejohahan ONE: Destiny Of Champions ini juga akan menyaksikan pertembungan di antara Yodsanklai IWE Fairtex dari Thailand dengan Luis Regis dari Australia dalam 'main event'.
#Axiata Arena #Bukit Jalil #Destiny Of Champions #MMA #ONE Championship #seni beladiri #seni mempertahankan diri #seni mempertahankan diri campuran
;