Aksi menentang Oman penting buat Harimau Malaya - Josue

Bernama
Mac 15, 2024 12:50 MYT
Josue menjalani kem latihan bagi persediaan Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Wisma FAM, Petaling Jaya, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Penyerang naturalisasi Paulo Josue menyifatkan dua perlawanan Kumpulan D pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman bulan ini, amat penting dalam menentukan nasib skuad Harimau Malaya.
Pemain Kuala Lumpur (KL) City FC itu berkata kemenangan dalam kedua-dua pertemuan menentang pasukan di ranking ke-80 dunia itu boleh menjadi kejayaan bersejarah dengan membawa Malaysia ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia untuk kali pertama.
Beliau berkata pada pusingan ketiga kelayakan, Malaysia akan mengharungi cabaran dan pada masa sama menimba pengalaman baharu ketika bersaing dengan pasukan terbaik Asia yang juga memburu slot Piala Dunia 2026.
"Ini merupakan perlawanan penting untuk Malaysia dalam usaha mencipta sejarah kerana jika kita mendapat tiga mata di tempat lawan menentang Oman, kita hanya selangkah daripada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia, dan jika mereka datang ke sini dan kita menang sekali lagi, saya rasa kita sudah layak ke pusingan seterusnya.
"Kemudian, kita akan menghadapi semua pasukan lebih kuat di Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan lain-lain. Jadi pada saya, perkara paling penting kepada Malaysia - untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan sebegini, berada di sana untuk menghadapi perlawanan yang sentiasa sukar," kata pemain kelahiran Brazil berusia 35 tahun ketika ditemui semalam.
Pada masa sama, Josue berharap semua pemain dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menghadapi pertemuan dengan Oman, melakar inspirasi daripada prestasi Malaysia apabila seri 3-3 dengan Korea Selatan pada aksi kumpulan saingan Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas.
Malaysia yang menghuni ranking ke-132 dunia, dijadual berdepan Oman di Kompleks Sukan Sultan, Muscat pada 21 Mac ini (22 Mac, 2 pagi waktu Malaysia) sebelum melayan kunjungan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac, 10 malam.
Setelah bermain dua perlawanan menentang Oman, skuad kendalian Kim Pan Gon akan bertemu Kyrgyzstan di Bishek pada 6 Jun sebelum menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun dalam perlawanan terakhir.
Malaysia kini mengungguli Kumpulan D dengan enam mata, diikuti Oman di tempat kedua yang berkongsi tiga mata dengan Kyrgyzstan di tempat ketiga manakala Taiwan di tangga tercorot tanpa mata.
Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga dan mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027 manakala dua pasukan terbawah akan bermain di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia.
-- BERNAMA
#Paulo Josue #harimau Malaya #Oman #Kelayakan Piala Dunia 2026
;