Aksi Malaysia lawan Afrika Selatan ditunda ke Ahad ekoran hujan lebat

Bernama
November 4, 2022 05:23 MYT
Pemain Negara Azuan Hasan (kiri) berebut bola dengan Cameron Yves Norman Le Forestier (kanan) pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam tadi. --fotoBERNAMA
IPOH: Perlawanan antara Malaysia dan Afrika Selatan pada saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, malam tadi, ditunda selepas 14 minit perlawanan bermula berikutan hujan lebat.
Perlawanan yang bermula jam 8 malam itu menyaksikan Afrika Selatan mendahului 1-0, hasil jaringan padang oleh CameronYves Le Forestier pada minit ke-11.
Selepas menunggu kira-kira sejam untuk keadaan cuaca pulih, Perwakilan Teknikal Perlawanan, Muneer Mohamed, memutuskan menunda perlawanan itu ke hari Ahad jam 5 petang dan perlawanan akan dimulakan dari minit ke-14.
Pada perlawanan ketiga malam tadi, skuad bimbingan A. Arul Selvaraj mempamerkan aksi yang lebih fokus dan disiplin yang tinggi untuk menjayakan misi wajib menang menentang Afrika Selatan.
Speedy Tigers terlebih dulu mengasak kubu Afrika Selatan namun empat pukulan sudut penalti gagal dimanfaatkan tuan rumah.
Sementara itu, Arul Selvaraj pada sidang medianya menyatakan keadaan padang yang becak dan hujan lebat sedikit sebanyak mengganggu perancangan pasukannya.
"Malam ini corak permainan kita adalah bermain secara pantas dan jika keadaan padang basah atau berat maka ia agak menyukarkan malah perlu berubah strateginya.
"Walaupun ketinggalan satu gol kami perlu positif dan perlawanan Ahad ini kami perlu fokus dengan bermula semula seolah-olah ia perlawanan baharu, kita tidak mahu pemain tertekan memikirkannya," katanya.
Sebelum itu, perlawanan antara Jepun dan Pakistan berkesudahan 2-2 manakala Mesir dan Korea Selatan terikat tanpa jaringan.
-- BERNAMA
#Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah #tunda #hujan lebat #Speedy Tigers
;