Aksi Malaysia, Kyrgyzstan tetap di Bukit Jalil - FAM
Bernama
Oktober 20, 2023 14:34 MYT
Oktober 20, 2023 14:34 MYT
KUALA LUMPUR: Perlawanan pembukaan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2026 antara Malaysia dan Kyrgyzstan pada 16 Nov ini, akan tetap berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman berkata mereka bagaimanapun mempunyai alternatif lain, sekiranya Kyrgyzstan menolak untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Setakat hari ini (perlawanan Malaysia dan Kyrgyzstan) berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya selepas sidang media pelancaran program Road To Doha bersempena Piala Asia 2023, di sini, hari ini.
Jumaat lepas, isu padang baharu 'Zeon Zoysia' di Stadium Nasional Bukit Jalil mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air, susulan insiden rumput tercabut dan tompok di beberapa bahagian, ketika aksi Malaysia menewaskan India 4-2, pada perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka 2023.
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menaja kos penukaran padang tersebut menerusi laman X menjelaskan, rumput berkenaan perlu diberi masa untuk akarnya tumbuh dengan kuat sebelum digunakan seperti padang di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Dalam pada itu, Noor Azman memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), susulan tawaran menjadi tuan rumah bagi perlawanan Kumpulan I Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Palestin dan Australia, dijadual berlangsung 21 Nov ini.
Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata pihaknya telah menghubungi Kedutaan Palestin dan memaklumkan kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah perlawanan itu, di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini.
Noor Azman pada masa sama berkata pihaknya bersama ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon, akan melakukan sesi post-mortem tidak lama lagi, susulan kegagalan skuad kebangsaan menjuarai Pestabola Merdeka 2023 selepas tumpas 0-2 kepada Tajikistan pada aksi final, Selasa lepas.
Sementara itu, beliau berkata FAM menyambut baik usaha syarikat konsultan tempatan MFast Resources Holding Sdn Bhd, yang menjayakan program 'Road To Doha' dengan menyediakan beberapa pakej bagi membawa penyokong Harimau Malaya, menyaksikan skuad kebangsaan beraksi di Piala Asia 2023 bermula Januari depan.
Jurucakap MFast Resources Holding Sdn Bhd Khairul Effendy Abdullah berkata pihaknya yang mengendalikan pelancongan sukan berkata harga pakej ditawarkan bagi peringkat kumpulan, bermula serendah RM1,838 hingga RM13,500.
Khairul Effendy berkata mereka menyasarkan sekurang-kurangnya 300 penyokong tempatan membeli pakej merangkumi antaranya tiket penerbangan, tiket perlawanan dan penginapan yang mula dijual esok.
Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan, selain Jordan dan Bahrain pada pusingan akhir Piala Asia 2023, dari 12 Jan-10 Feb tahun depan.
-- BERNAMA