Aksi Liga-M dalam bulan puasa tidak sesuai budaya tempatan - Jurulatih
Bernama
Jun 11, 2018 15:21 MYT
Jun 11, 2018 15:21 MYT
Beraksi dalam perlawanan kompetitif pada bulan puasa sudah menjadi kebiasaan bagi pemain bola sepak dari negara Asia Barat, namun keadaan itu mungkin tidak sesuai bagi pemain tempatan.
Pendapat itu diluahkan ketua jurulatih Terengganu Football Club 1 (TFC 1), Irfan Bakti Abu Salim apabila diminta mengulas mengenai aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2018 melibatkan saingan Liga Super dan Liga Premier yang terpaksa diteruskan pada bulan Ramadan ini.
Irfan berkata beberapa faktor perlu diambil kira yang menyebabkan perkara itu perlu dikaji semula oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada musim depan, termasuk membabitkan aspek kesihatan dan prestasi serta stamina pemain.
"Sebelum ini kita ketahui negara seperti Oman, Arab Saudi dan Qatar beraksi pada bulan puasa dan kita pun pernah berlatih di sana dahulu, tetapi pada saya budaya kita tidak sesuai terutama perlawanan hanya dimulakan pada 10 malam, ia tidak berapa baik untuk kesihatan pemain.
"Jadi kita mohon FAM ubah jadual perlawanan untuk musim depan supaya tiada perlawanan dijalankan pada bulan puasa," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Ketua Jurulatih pasukan PKNP, Abu Bakar Fadzim juga menyuarakan pendapat yang sama, apabila melihat kualiti permainan yang ditunjukkan pemain menurun apabila terpaksa bergelut untuk bermain selepas 10 malam.
Stamina pemain juga dilihat terjejas apabila ada pasukan yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk setiap perlawanan yang diadakan pada bulan Ramadan ini, katanya.
"Saya memang ada kongsi dengan jurulatih pasukan lain mengenai keadaan ini, memang kita lihat pemain terpaksa bergelut untuk sesuaikan diri dengan aksi pada bulan puasa....tenaga dan kualiti permainan turut terjejas ditambah pula terpaksa menempuh perjalanan jauh.
"Seperti PKNP, sebelum ini gelanggang tuan rumah kita di Stadium Batu Kawan, (Pulau Pinang) tetapi lima perlawanan pertama kita semua bermain di tempat lawan...perjalanan yang jauh agak memenatkan dan untuk pemain kembali cergas mengambil masa.
"Jadi kita harap ada perubahan jadual pada musim depan. Dari segi penonton juga kurang kerana ramai melakukan solat tarawih, jadi tidak sempat ke stadium (menonton perlawanan)," katanya.
-- BERNAMA
#Arab Saudi
#Asia Barat
#bola sepak
#FAM
#irfan bakti
#liga m
#Oman
#pasukan Asia Barat
#Qatar
#Ramadan