Aksi Everton, Spurs dihentikan beri laluan pemain berbuka puasa

Sinar Harian
April 4, 2023 13:32 MYT
Onana (tengah) mengambil air minuman tenaga untuk berbuka puasa ketika aksi Everton menentang Spurs dihentikan seketika pada Selasa. - Foto Agensi/Sinar Harian
SIKAP hormat yang ditunjukkan oleh pentadbir Liga Perdana Inggeris (EPL) wajar dipuji apabila pegawai perlawanan menghentikan permainan bagi memberi peluang kepada pemain beragama Islam berbuka puasa.
Suasana itu dapat disaksikan pada perlawanan antara Everton dan Tottenham Hotspur di Goodison Park pada Selasa.
Permainan dihentikan pada minit ke-26 bagi memberi laluan kepada trio Everton, Andre Onana, Abdoulaye Doucoure dan Idrissa Gueye berbuka puasa di tepi padang.
Rakan sepasukan dan pemain pasukan lawan menggunakan ruang 'rehat' seketika itu untuk mendengar arahan dan perancangan taktikal jurulatih masing-masing.
Senario itu boleh diibarat seperti 'water break' dalam liga yang berlangsung ketika cuaca panas.
Keputusan perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Berbeza bagi liga bola sepak lain di Eropah, rakan sepasukan terpaksa mencari helah untuk menghentikan permainan bagi membolehkan rakan Muslim mereka berbuka puasa.
Ketika aksi Serie A antara Inter Milan dan Fiorentina, Luca Ranieri berpura-pura cedera bagi membolehkan Sofyan Amrabat berbuka puasa. - Sinar Harian
#buka puasa #EPL #Everton #Tottenham Hotspur
;