Akhirnya, Messi hapuskan 'badi' bertemu Chelsea!
Israr Khalid
Februari 21, 2018 09:17 MYT
Februari 21, 2018 09:17 MYT
SEMBILAN perlawanan dan 730 minit, akhirnya Lionel Messi memecahkan 'badi' bertemu Chelsea apabila menjaringkan gol pertamanya menentang kelab Inggeris itu.
Dia bukanlah pemain terbaik perlawanan, pasukannya gagal menemui ruang memecah benteng lawan, namun satu-satunya peluang keemasan yang muncul tidak disia-siakannya untuk menyelamatkan maruah Barcelona di Stamford Bridge, London, pada Selasa (waktu tempatan).
Kehebatan taktikal Antonio Conte pun tidak mampu mengekang ketajaman pemain yang dianggap terbaik sepanjang zaman itu, meranapkan impian The Blues tatkala mereka yakin memperoleh kelebihan untuk dibawa ke aksi kedua di Nou Camp, 14 Mac nanti.
Separuh masa pertama berlangsung penuh debaran, kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan masing-masing, menyaksikan Chelsea lebih tajam biarpun Barca menguasai perlawanan, seperti biasa.
Pelawat terlebih dahulu hampir menyentap ego tuan rumah pada minit ke-15, namun Poulinho gagal menanduk hantaran lambung Messi tepat ke gawang untuk setidak-tidaknya menguji penjaga gol, Thibaut Courtois.
Pada minit ke-33, ketajaman Willian hampir menghukum kelonggaran pertahanan Blaugrana namun rembatannya hanya sekadar menggegar tiang gol, dan sekali lagi berlaku lima minit sebelum tamat babak pertama yang berkesudahan buntu tanpa jaringan.
Babak kedua disambung terus berlangsung dengan tegang, sehingga akhirnya pemain sayap Brazil itu menemui sasaran pada minit ke-62 dengan rembatan lencong leret melepasi pengawasan pertahanan dan gapaian penjaga gol Barca, Ter Steigen, sekali gus mencetuskan gegak gempita di Stamford Bridge.
Tetapi gembira mereka tidak lama, kesilapan hantaran Marcos Alonso dihukum Andres Iniesta yang merampas bola dan membantu Messi menghapuskan ‘suwey’ lebih 10 tahun bertemu Chelsea.
Ini juga gol pertama Messi dalam lima perlawanan musim ini, tetapi persoalan bahawa ia sekadar nasib atau sememangnya keunggulan pemenang lima kali Ballon d’Or itu, Messi membuktikan statusnya sebagai ‘The Messiah’ atau penyelamat yang acap kali bangkit pada saat paling diperlukan, baik di saingan kelab mahupun bersama pasukan kebangsaannya.
Messi sudah menerima tentangan daripada 37 kelab berbeza dari 16 negara di Eropah, dan enam kelab daripadanya masih terselamat daripada dirobek bintang Argentina itu iaitu Atletico Madrid, Benfica, Inter Milan, Liverpool, Rubin Kazan and Udinese.
Mampukah ‘The Messiah’ buat sekian kalinya menjadi penyelamat Barca, seterusnya mara ke pusingan berikutnya dan membantu kelab Catalan itu menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah untuk kali keenam?
Segalanya mungkin dalam bola sepak, apatah lagi dengan Lionel Messi.