AJ Styles menyertai WWE? Laluan sukar buat Roman Reigns

Hafiz Azwany Taher
Januari 6, 2016 12:43 MYT
AJ Styles dilaporkan telah menghantar notis pemberhentian daripada New Japan Pro Wrestling Ahad lalu.
Peminat gusti profesional seluruh dunia begitu teruja apabila beberapa laman web gusti antarabangsa melaporkan spekulasi yang bintang sensasi antarabangsa, AJ Styles bakal menyertai WWE sedikit masa lagi.
AJ atau nama sebenarnya Allen Neal Jones, dan beberapa nama besar lagi seperti Shinsuke Nakamura, Karl Anderson dan Doc Gallows yang kini sedang mencipta nama di Jepun dalam gagasan Bullet Club, dilaporkan telah menghantar notis pemberhentian daripada New Japan Pro Wrestling Ahad lalu, susulan mendapat tawaran untuk menyertai syarikat gergasi gusti yang berpengkalan di Connecticut, Amerika Syarikat itu.
Bagaimanapun, laman web rasmi WWE telah mendapatkan maklumbalas daripada Ketua Pegawai Operasi WWE, Paul "Triple H" Levesque dan beliau telah menafikan laporan tersebut. Namun sepertimana yang para peminat gusti seluruh dunia sedia maklum, WWE tidak akan sewenang-wenangnya untuk memberikan liputan tentang bintang gusti yang bukan di bawah kendalian mereka, sekaligus ianya menambah lagi keterujaan para peminat yang menjangkakan AJ Styles bakal muncul sebagai peserta kejutan di acara WWE Royal Rumble pada 25 Januari 2016 ini.
Untuk rekod, AJ Styles merupakan bintang gusti yang telah menempa nama di persada antarabangsa sejak lebih 15 tahun lalu. Beliau pernah beraksi di World Championship Wrestling (WCW), dan menjadi tonggak utama di TNA Wrestling sejak tahun 2002 dan memenangi beberapa kejuaraan dunia di organisasi tersebut. Beliau berpisah dari TNA Wrestling pada tahun 2012 dan menyertai beberapa organisasi bebas seperti Ring Of Honor dan terkini di New Japan Pro Wrestling dan turut bergelar juara dunia. Pastinya penyertaan AJ Styles di WWE bakal menggegarkan organisasi tersebut dan tidak mustahil yang “The Phenomenal” bakal bergelar Juara Heavyweight Dunia WWE satu hari nanti.
Dalam perkembangan lain, Juara Heavyweight Dunia WWE berjaya mempertahankan kejuaraannya di acara utama Raw minggu ini dengan menentang mantan juara, Sheamus. Biarpun perlawanan ini diadili oleh Pengerusi WWE, Vince McMahon yang ternyata berat sebelah dan seolah-olah ingin membalas dendam setelah apa yang dilakukan sang juara tersebut kepadanya beberapa minggu lepas, kejayaan tetap berpihak kepada Reigns dan ini menambah luka di jiwa keluarga McMahon. Dengan aksi kiraan pin yang lambat, pura-pura tercedera dan tidak mahu melakukan kiraan pin ketika Reigns menindan Sheamus, Pengerusi WWE itu menerima padah apabila akhirnya dilayangkan tumbukan padu terbang Superman sepertimana 2 minggu lepas.
Pengadil upahan The Authority, Scott Armstrong pula muncul ingin membantu. Namun beliau turut menerima padah dengan menerima tumbukan padu yang sama. Dan dengan satu gerakan rempuhan tujahan lembing, Reigns berjaya melakukan tindanan pin dan seorang lagi pengadil gantian muncul dan menyudahkan kiraan, lantas menobatkan Reigns sebagai juara bertahan.
Vince McMahon yang nyata tidak berpuas hati dengan situasi ini, membuat pengumuman yang mengejutkan, apabila beliau menyatakan yang Kejuaraan Heavyweight Dunia WWE akan dipertaruhkan dan bakal menjadi hadiah utama dalam perlawanan Tempur Raksasa Diraja di acara Royal Rumble nanti. Dan sudah tentu Reigns terpaksa menyingkirkan 29 penggusti lain untuk mempertahankan kejuaraannya ini, dan ia merupakan satu tugasan yang amat sukar untuk digalas.
Kali terakhir Kejuaraan WWE dipertandingkan di perlawanan Tempur Raksasa Diraja adalah ketika acara Royal Rumble 1992, di mana ketika itu kejuaraan tersebut dikosongkan, dan Ric Flair muncul sebagai pemenang dan dimahkotakan sebagai Juara WWE yang baharu.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia di Facebook yang kini telah menghimpunkan lebih 14,000 peminat gusti di Malaysia.
Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
#AJ Styles #Doc Gallows #Karl Anderson #Shinsuke Nakamura #wrestling #WWE
;