AJ Pyro lelong sarung tangan demi bantu rakan baik
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 27, 2021 12:36 MYT
Januari 27, 2021 12:36 MYT
KUALA LUMPUR : Peninju profesional sukan seni tempur campuran (MMA) AJ Pyro Lias Mansor sanggup menjual sarung tangan kesayangannya demi membantu sahabatnya.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, dia meluahkan bahawa keputusan itu bukan satu perkara mudah, namun terpaksa dilakukan bagi membantu dua rakan baiknya dikenali sebagai Jerome dan Malan yang kini sedang menerima rawatan di hospital.
“Dalam pada saya sedang berdepan cabaran sendiri, ada pula mereka yang sedang bertarung nyawa. Dua rakan baik saya kini dalam keadaan kritikal. Malan merupakan rakan sebilik semasa dalam Cobra Rugby Club.
“Manakala Jerome sudah dianggap sebagai abang yang sentiasa melindungi saya sejak belajar di universiti 20 tahun lalu dan bersama-sama menyertai ragbi.
“Malan kini diserang angin ahmar dan Jerome terlibat dalam kemalangan bulan lalu. Kedua-dua mereka sudah sedar dari koma tetapi masih dalam keadaan kritikal,” kongsinya.
Dia pada masa sama turut memaklumkan bahawa sarung tangan 'bertuah' itu dimenanginya pada Kejohanan ONE Championship dan ia melambangkan usaha dalam kehidupannya sebagai peninju.
Dia mengambil keputusan untuk melelong sarung tangan ini bagi membantu rakan-rakannya itu dari segi kewangan.
Nilai bidaan tertinggi kini adalah RM4,000 dan orang ramai masih membuat tawaran bidaan. Bidaan akan berakhir 11.59 malam, 27 Januari 2021.
AJ Pyro turut berterima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan.