Aira melangkah ke separuh akhir Skuasy Remaja Dunia

Bernama
Julai 21, 2023 19:39 MYT
Aira berkata beliau amat gembira untuk mara ke separuh akhir dan berharap untuk mempamerkan aksi terbaiknya untuk melangkah ke final. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy remaja wanita negara, Aira Azman hanya tinggal selangkah lagi untuk ke final Kejohanan Skuasy Remaja Dunia (WJSC) sulungnya setelah berjaya mara ke separuh akhir edisi 2023 di Melbourne, Australia.
Pemain berusia 18 tahun itu mengambil masa 21 minit untuk menewaskan Lauren Baltayan dari Perancis, 11-4, 11-9, 11-6 dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Pusat Sukan dan Akuatik Melbourne, hari ini.
Bagaimanapun, tugas mencabar menanti pemain pilihan ketiga/keempat kejohanan itu di separuh akhir apabila berhadapan dengan pemain pilihan kedua dari Mesir, Fayrouz Aboelkheir yang menewaskan wakil Amerika Syarikat Caroline Fouts, 11-5, 14-12, 11-5, dalam perlawanan suku akhir yang lain.
Dalam ulasannya selepas perlawanan, Aira berkata beliau amat gembira untuk mara ke separuh akhir dan berharap untuk mempamerkan aksi terbaiknya untuk melangkah ke final.
"Saya bermain dengan baik hari ini tetapi saya bayangkan perlawanan esok sungguh mencabar," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).
Sementara itu, kemaraan wakil tunggal perseorangan lelaki Malaysia, Joachim Chuah terhenti selepas ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan selama enam hari itu oleh Mohammad Hamza Khan dari Pakistan, 11-8, 9-11, 11-7, 12-10.
Mohammad Hamza akan berhadapan dengan pemain Perancis, Melvil Scianimanico yang mengalahkan Hollis Robertson dari Amerika Syarikat, 11-9, 6-11, 11-2, 9-11, 11-8.
Dalam perkembangan lain, kakak Aira, Aifa seperti dijangkakan memastikan tempat di perlawanan akhir bersama gandingannya Syafiq Kamal dalam Kejohanan Beregu Campuran Skuasy Jemputan SRAM yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini.
Syafiq-Aifa terpaksa berhempas pulas selama 57 minit untuk menewaskan lawan mereka Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif-Duncan Lee, 11-8, 9-11, 11-8.
Pada masa sama, satu lagi pasangan negara, Addeen Idrakie-Ainaa Amani, juga melangkah ke final selepas mengatasi cabaran beregu Hong Kong Tong Tze Wing-Tang Ming Hong, 11-8, 10-11, 11-9.
-- BERNAMA
#Pemain skuasy remaja wanita #Aira Azman #Skuasy Remaja Dunia #WJSC
;