Aira bawa harapan akhiri penantian 22 tahun negara raih juara remaja dunia
Bernama
Julai 22, 2023 22:06 MYT
Julai 22, 2023 22:06 MYT
KUALA LUMPUR: Bintang skuasy negara yang sedang meningkat naik Aira Azman hanya tinggal selangkah sahaja lagi bagi mengakhiri penantian 22 tahun negara untuk meraih gelaran juara Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2023 di Melbourne, Australia.
Pemain berusia 18 tahun itu berada di landasan yang betul untuk mengekori jejak Ratu Skuasy Negara Datuk Nicol David, wakil terakhir Malaysia memegang gelaran juara kejohanan itu selepas menewaskan pemain Mesir Omneya Abdel Kawy 9-2, 9-4, 9-2 pada edisi 2001 kejohanan itu di Pulau Pinang.
Aira mara ke perlawanan akhir sulungnya dengan mengalahkan pemain pilihan kedua kejohanan Fayrouz Aboelkheir dari Mesir, 12-10, 11-7,11-8 dalam perlawanan separuk akhir yang berlangsung hari ini.
Menanti Aira yang menjuarai Kejohanan Bawah 15 tahun pada 2018 pada final nanti, juara bertahan Amina Orfi atau Malak Khafagy dari Mesir yang akan bertarung dalam satu lagi perlawanan separuh akhir hari ini.
Aira dalam ulasannya selepas perlawanan separuh akhir itu berkata taktik permainan yang diatur oleh jurulatihnya Andrew Cross benar-benar membantu beliau untuk mara ke perlawanan akhir esok.
"Ia tidak mudah tetapi saya memberikan yang terbaik sebentar tadi, perlawanan sukar esok, saya hanya mahu mempamerkan aksi terbaik saya," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).
Aira akan beraksi dalam perlawanan akhir esok pada pukul 12 tengah hari waktu Malaysia.
-- BERNAMA