Aira Azman tumpas kepada penyandang juara dalam final Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2023

Bernama
Julai 23, 2023 17:26 MYT
AIRA: Saya rasa permainan Amina sangat mantap hari ini, dia bermain dengan sangat baik. Memang agak mengecewakan dengan kekalahan ini, tetapi semoga ia menjadi lebih baik dari sini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bintang skuasy yang sedang meningkat naik Aira Azman terlepas peluang menamatkan kemarau 22 tahun negara untuk merebut gelaran juara dalam Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2023 selepas kalah 0-3 kepada juara bertahan, Amina Orfi di Melbourne, Australia, hari ini.
Kali terakhir pemain skuasy Malaysia merangkul gelaran juara Skuasy Remaja Dunia wanita ialah pada tahun 2001 menerusi ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David yang muncul juara buat kali kedua ketika itu.
Amina ternyata terlalu kuat untuk ditandingi pemain remaja terbaik negara apabila pemain dari Mesir itu menang dengan 11-8, 11-5, 11-1 dalam perlawanan yang mengambil masa 31 minit, yang menyaksikan Aira terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.
Bercakap dengan media selepas perlawanan, Aira berkata ia adalah persembahan terbaiknya menentang Amina, sambil menambah pemain Mesir itu berada dalam elemennya tersendiri untuk memastikan kemenangan dalam perlawanan hari ini.
"Saya rasa permainan Amina sangat mantap hari ini, dia bermain dengan sangat baik. Memang agak mengecewakan dengan kekalahan ini, tetapi semoga ia menjadi lebih baik dari sini.
"Rasanya permainan saya bertambah baik tahun ini, berbanding tahun sebelumnya. Mungkin tidak mendapat gelaran juara, tetapi saya gembira dapat mara ke final dan menjadi pemain pertama ke final selepas 22 tahun, sejak kejayaan Datuk Nicol," katanya, dipetik daripada kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).
Aira berharap dapat meningkatkan prestasinya dalam Sukan Asia di Hangzhou, China akan datang yang akan berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt.
-- BERNAMA
#kejohanan skuasy remaja dunia #Melbourne #amina orfi #Aira Azman
;