Air mata Lovelly gugur terkenang mendiang ibu selepas menang perak
Bernama
Oktober 5, 2023 07:00 MYT
Oktober 5, 2023 07:00 MYT
HANGZHOU: Atlet karate muda negara, Lovelly Anne Robberth yang mencipta kejutan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 semalam tidak dapat menahan air mata apabila terkenangkan mendiang ibunya, Adriana Pamela Sundangit, yang meninggal dunia sekitar tahun 2016.
Atlet berusia 19 tahun berasal dari Penampang, Sabah itu sebak dan terus mengalirkan air mata apabila menyebut mengenai mendiang sewaktu menjawab soalan media tempatan, kepada siapakah beliau mendedikasikan kejayaan bersejarah itu.
"Pingat ini untuk ibu saya yang sudah meninggal dunia pada 2016 lagi, akhirnya saya dapat (naik) podium dengan Olimpian dan buktikan kepada semua saya mampu lakukan sebagai atlet Malaysia di Sukan Asia," katanya yang membuat penampilan sulung di Sukan Asia sambil terus menangis.
Menurut Lovelly Anne, mendiang ibunya meninggal dunia akibat komplikasi di bahagian otak dan sejak itu beliau tinggal bersama ayah dan keluarga serta neneknya di Penampang.
Namun, beliau yang mengimpikan karier cemerlang dalam sukan karate kini tinggal dan menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukti Jalil.
Terdahulu, Lovelly Anne merangkul perak dalam acara kata individu wanita selepas tewas kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kiyou Shimizu dari Jepun pada aksi penentuan pingat emas di Gimnasium Pusat Sukan Linping.
Lebih bermakna, kejayaan itu memastikan kontinjen negara mencapai sasaran 27 pingat.
Pencapaian dilakar Lovelly Anne membolehkan beliau menyamai pencapaian perak yang dimenangi Lim Lee Lee pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.
Kilauan pingat disumbangkan beliau juga menamatkan penantian 13 tahun kem karate negara untuk menaiki podium dalam acara itu sejak kali terakhir dilakukan Lee Lee yang merangkul gangsa pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
Dalam pada itu, emas dimenangi Shimizu menyaksikan atlet berusia 29 tahun itu memenangi emas buat kali ketiga berturut-turut sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
-- BERNAMA