Air mata jurulatih China
Bazly Azmi
Disember 20, 2017 08:58 MYT
Disember 20, 2017 08:58 MYT
SIAPA mengenali Yang Zhuliang pasti mengagumi karakter ketua jurulatih terjun negara itu.
Tegas, penyayang, bertanggungjawab elemen yang menjadikan pengendali kelahiran China itu dikagumi ramai penerjun terbaik dunia.
Bagaimanapun, selepas berjaya melahirkan bintang negara seperti Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri, Ooi Tze Liang, khidmatnya tidak diperlukan lagi.
Program Podium tidak menyambung kontraknya yang tamat 31 Disember ini.
Sebaliknya, beliau diberi tugas membimbing skuad pembangunan untuk melahirkan lebih ramai bakat baru meneruskan kesinambungan Pandelela dan rakan-rakan.
Soalnya, adakah ia tindakan yang relevan?
Mengapa tugas mencari bakat baru diberikan kepada jurulatih berprestasi tinggi?
Apa yang berlaku kepada jurulatih pembangunan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM)?
Atau ini hanya tindakan untuk mengaburi niat sebenar terhadap Zhuliang?
Saya bertemu Zhuliang pada sesi latihan di Bukit Jalil dan beliau tidak menyangka ini nasib menimpanya selepas belasan tahun menabur bakti untuk Malaysia.
"Isteri saya cukup marah kerana selepas berpuluh tahun meninggalkan keluarga di Australia dan ibu bapa di China, ini pengakhiran karier saya.
"Saya sudah anggap semua penerjun Malaysia seperti anak sendiri hingga menolak banyak tawaran lain. Akhirnya ini balasan untuk saya.
"Tidak mengapa, mungkin inilah masa terbaik untuk saya bersara. Saya sudah mencuba banyak kali untuk meninggalkan Malaysia tetapi tidak sampai hati. Kali ini, peluang itu datang sendiri," katanya sambil bergenang air mata.
Sebak memikirkan nasib Zhuliang.
Namun, saya nasihatkan kepadanya agar meneruskan niat di hati.
Jika tidak, beliau tidak akan gembira di Malaysia dan tidak mustahil, penyakit darah tinggi yang bersarang di tubuh pengendali berusia 53 tahun ini akan beri kesan terhadap jantungnya.
Beliau ambil keputusan pulang ke China selepas 31 Disember untuk menjaga ibu bapanya yang sudah tua.
Saya pula akan terus mengikuti perjalanan penerjun negara dan berharap, mereka akan berjaya menghadapi musim 2018 yang padat dengan Siri Dunia, Grand Prix Dunia, Piala Dunia, Sukan Komanwel dan Asia.
Yang Zhuliang, seorang jurulatih dari China yang melahirkan ramai penerjun handalan Malaysia.
*Bazly Azmi adalah wartawan, editor dan penyampai saluran sukan Astro Arena
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#air
#anak
#Asia
#Australia
#Bukit Jalil
#China
#Grand Prix
#keluarga
#Pandelela Rinong
#Piala Dunia
#sukan