Aiman pemain 'wonder boy' - Mora

Bernama
Mac 14, 2021 11:52 MYT
Benjamin Mora memuji pemain mudanya Arif Aiman Mohd Hanapi sebagai seorang 'Wonder Boy'. -Gambar fail
SHAH ALAM: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora memuji pemain mudanya Arif Aiman Mohd Hanapi sebagai seorang 'Wonder Boy'.
Mora berkata sebagai pemain yang laju dan pintar, Arif Aiman dikatakan akan merevolusikan pasukan Harimau Selatan dan Liga Super Malaysia untuk tahun-tahun yang akan datang.
Arif Aiman, baru berusia 18 tahun, masuk sebagai pemain simpanan pada minit ke lapan dalam perlawanan menentang UiTM FC semalam, dan terus membawa kesan serta-merta dengan menjaringkan gol pembukaan, hanya selepas seminit berada di atas padang.
"Beliau mempunyai skil dan bakat pada usia yang muda dan masa hadapan dan apa yang penting ialah mengetahui mengenai apa yang perlu dilakukannya di atas padang.
"Beliau seorang revolusi. Dia masuk dan merevolusikan kesemuanya kerana dia amat pantas dan bijak, jadi dia tahu apa yang perlu dilakukan," kata Mora pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Pasukan tuan rumah, UiTM FC tewas 0-4 kepada JDT di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi.
Mora berkata, mereka mengadakan banyak perbincangan dengan Arif Aiman dan barisan kejurulatihan telah berusaha untuk meningkatkan keyakinan pada dirinya untuk maju ke hadapan.
"Saya maklumkan kepadanya yang beliau perlu bermain dengan lebih baik (dari biasa) sebagai pengganti pemain serangan JDT Muhammad Safawi Rasid. Saya katakan yang anda (Arif Aiman) tahu apa yang perlu dilakukan, dan dia tahu. Ini sesuatu yang amat baik untuk kami, kerana kami boleh mengharapkan pada seorang remaja berusia 18 tahun, bagi membantu kami membuka laluan untuk menjaringkan gol," katanya.
Berkaitan Muhammad Safawi yang cedera di lutunya malam semalam, Mora berkata, doktor akan menilai kecederaannya menggunakan Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) dan mungkin akan mendapat keputusannya esok (hari ini).
"Saya percaya dia akan pulih dengan cepat, kerana beliau seorang pemain muda dan kuat dan beliau amat teruja untuk berlatih setiap hari, harapannya kita boleh gunakan khidmatnya secepat mungkin," katanya.
Untuk perlawanan selanjutnya menentang Selangor pada Rabu Mora berkata, pasukannya akan mula merancang hari ini, dan menumpukan kepada pemulihan pemain dengan cara yang terbaik.
"Kami akan lihat siapa yang 100 peratus cergas untuk berhadapan pasukan yang kuat seperti Selangor. Kami akan bermain di tempat sendiri, Stadium Sultan Ibrahim adalah istimewa bagi kami, kerana kami berasa yakin dan senang bermain di sana.
"Saya fikir ia akan menjadi satu perlawanan yang bagus dan sasaran kami ada sama iaitu, memenangi tiga mata dan menjaringkan sebanyak gol yang boleh," katanya.
-- BERNAMA
#JDT #Benjamin Mora #Arif Aiman Mohd Hanapi #UiTM FC #Sultan Ibrahim #Liga Super Malaysi #Harimau Selatan
;