Aifa teruskan kecemerlangan layak ke akhir, Eain Yow terkandas
Bernama
November 26, 2021 23:55 MYT
November 26, 2021 23:55 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy remaja sensasi negara Aifa Azman meneruskan prestasi terbaiknya hari ini, untuk layak ke perlawanan akhir Skuasy Terbuka Malaysia 2021 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.
Aifa, pemain nombor 69 dunia, mempamerkan satu lagi permainan cemerlang mengejutkan pemain pilihan kelima kejohanan dan ke-19 dunia Danielle Letourneau 11-4, 11-7, 5-11, 11-3 pada perlawanan separuh akhir, bagi memastikan adanya wakil negara pada perlawanan akhir.
Pemain yang menyertai kejohanan menerusi 'wildcard' itu, bermula dengan baik mendahului 2-0 sebelum Letourneau mengikuti rapat dan menang set ketiga, namun Aifa yang terus fokus pada permainannya, berjaya menang set keempat, sekali gus layak ke perlawanan akhir dalam masa 32 minit.
Pemain berasal dari Kedah itu akan bertemu pemain nombor lapan dunia dari Mesir Salma Hany, selepas pemain pilihan utama itu layak ke akhir dengan mudah mengalahkan pemain pilihan keempat Hollie Naughton dari Kanada 11-1, 11-8, 11-5.
Sebelum ini Aifa berjaya mengejutkan tiga pemain Mesir - pemain nombor 47 dunia Mayar Hany, Yathreb Adel (31 dunia) dan Hana Ramadhan (35 dunia) untuk layak ke separuh akhir.
Pemain berusia 19 tahun itu berkata kini mendapat suntikan keyakinan untuk berhadapan dengan pemain dengan ranking lebih tinggi daripadanya.
"Saya tidak menjangkakan akan bermain di perlawanan akhir, tetapi selepas undian saya rasa mungkin akan ada peluang untuk saya menang, jadi selepas menang pusingan pertama, saya fokus untuk perlawanan seterusnya dan saya terus lakukannya hingga layak ke akhir.
"Mengalahkan pemain yang lebih tinggi rankingnya mendorong saya untuk terus berlatih dengan kuat dan untuk berada dalam kalangan 20 pemain terbaik dunia dalam masa beberapa tahun atau mungkin tahun hadapan," katanya kepada media selepas perlawanan.
Sementara itu kategori lelaki menyaksikan juara bertahan Ng Eain Yeow gagal untuk mempertahankannya, selepas dikalahkan oleh pemain pilihan pertama Miguel Rodriguez dari Colombia 11-9, 11-9, 11-6.
Pemain Colombia itu akan berhadapan pemain pilihan kedua Saurav Ghosal dari India, yang menewaskan pemain Perancis Victor Crouin 12-10, 11-9, 11-9.
-- BERNAMA