Aifa dambakan lebih banyak kejayaan, tutup tirai 2021 dengan bergaya

Bernama
Disember 13, 2021 15:02 MYT
Aifa yakin beliau kini berada dalam prestasi cemerlang menjelang Kejohanan Individu Asia di Islamabad, Pakistan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy sensasi remaja negara Aifa Azman semestinya mendambakan lebih banyak peluang untuk beliau merangkul kejayaan bagi menutup tirai kejohanan musim 2021 dengan penuh bergaya.
Selepas kejayaannya menjulang trofi Kejohanan Berpasukan Terbuka Malaysia dan Asia (ATC) 2021 baru-baru ini, Aifa yakin beliau kini berada dalam prestasi cemerlang menjelang Kejohanan Individu Asia di Islamabad, Pakistan yang akan bermula Rabu ini hingga 19 Disember.
Kini, gadis berusia 19 tahun berasal dari Kedah itu ternyata tidak sabar-sabar untuk menjulang kejayaan pada aksi saingan di Pakistan itu kelak, lebih-lebih sebagai hadiah hari jadinya ke-20 tahun pada 18 Disember ini, iaitu sehari sebelum aksi final kejohanan tersebut.
"Sudah tentu saya mahu memenangi gelaran (Kejohanan Individu Asia). Saya dapat rasakan, saya berada dalam momentum yang baik selepas merangkul dua kejayaan berturut-turut di sini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Aifa yang merupakan pilihan kelima kejohanan akan menentang pemain berusia 23 tahun, Fathoum Issadeen dari Sri Lanka pada pusingan pertama.
November lepas, Aifa mengejutkan pilihan utama dari Mesir Salma Hany dengan kemenangan 12-10, 11-8, 11-4 pada pentas akhir sekali gus dinobatkan sebagai juara Terbuka Malaysia 2021 dan meneruskan prestasi cemerlangnya dengan membantu pasukan negara wanita memenangi ATC buat kali ke-10, dengan menewaskan juara bertahan, Hong Kong, 2-1.
Aifa yang juga pemain nombor 36 dunia memaklumkan bahawa pentas kejohanan di Asia itu akan dijadikan platform untuk membantunya membuat persiapan bersaing dalam dua kejohanan peringkat antarabangsa.
Ia termasuk dua pertandingan di Manchester, United Kingdom dari 21 Disember 2021 hingga 10 Januari 2022 diikuti enam pertandingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Amerika Syarikat bermula pertengahan Januari hingga Mac 2022.
"Saya gembira dapat bersaing dalam Jelajah Dunia PSA selepas berada dalam kalangan 40 pemain terbaik baru-baru ini, dan senario ini pastinya akan membantu saya untuk memperoleh lebih banyak pengalaman dan meningkatkan prestasi rentak permainan saya.
"Sebelum ini, saya hanya pemain atas tiket 'wildcard' setiap kali menyertai pertandingan Jelajah Dunia PSA kerana saya berada di ranking bawah 40," tambahnya.
Lebih menarik, Aifa juga akan menggunakan peluang terebut untuk meneruskan cabaran dalam Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom Julai depan dan Sukan Asia di Hangzhou, China, September 2022.
Untuk mengharungi cabaran itu, Aifa berkata beliau akan menjalani latihan intensif di sini selama dua bulan menjelang persiapan untuk beraksi di Sukan Komanwel dan Sukan Asia selepas beliau pulang dari Amerika pada Mac depan.
Sementara itu, dalam Kejohanan Individu Asia di Islamabad, Aifa bersama-sama tiga lagi pemain wanita akan menggalas cabaran negara dalam kejohanan itu, iaitu pilihan kedua Rachel Arnold, Chan Yiwen dan Noor Ainaa Amani Ampandi manakala pilihan utama dan ranking No. 18 dunia Ng Eain Yow akan mengetuai cabaran bersama-sama pemain skuasy lelaki negara iaitu Ivan Yuen, Syafiq Kamal dan Addeen Idrakie.
Ratu skuasy negara yang juga juara sembilan kali kejohanan Asia Datuk Nicol Ann David, adalah pemain wanita negara terakhir yang memenangi kejohanan berkenaan pada 2015 manakala Mohd Nafiizwan Adnan adalah pemain lelaki negara terakhir mengecapi kejayaan itu pada 2011.
-- BERNAMA
#Aifa Azman #Skuasy #kejohanan individu asia #Pakistan
;