Aidilfitri di Malaysia amat bermakna - Malek Noor
Astro Arena
Jun 15, 2018 13:35 MYT
Jun 15, 2018 13:35 MYT
BEKAS juara Mr. Asia enam kali, Datuk Malek Noor, mengimbau kenangan beraya di luar negara yang disifatkannya sebagai tiada aura dan hanya melewati hari-hari biasa semata-mata.
Rakyat Malaysia mengetahui Malek berkelana jauh demi memenuhi cita-cita selaku atlet bina badan terbaik negara pada satu ketika dulu.
Dia pernah menetap di Hong Kong, Amerika Syarikat dan Kanada, sekali gus meletakkannya dalam situasi beraya di perantauan.
Namun, tiada keistimewaan yang boleh dikongsikan selain hanya rasa sedih berjauhan dengan keluarga tatkala sambutan raya langsung tidak dirasai elemen istimewa.
Malah, pernah satu ketika dia tidak pasti tarikh sambutan raya dan hanya menjalani rutin harian seperti kebiasaan.
"Saya tidak tahu ketika itu bila waktu raya. Ia benar. Pada waktu itu saya menjalani latihan dan kemeriahan raya itu tidak dapat dilihat walaupun terdapat masyarakat Islam di sana. Saya pernah merasai tujuh tahun tanpa raya," kata Malek.
Berbeza dengan sambutan di tanah kelahiran sendiri, kemeriahan benar-benar dirasai dan tegas Malek, tiada tempat yang mampu menyaingi keindahan raya seperti mana yang berlaku di Malaysia.
"Saya lihat pengalaman di sini membuatkan saya bangga selepas berhijrah ke Amerika Syarikat dan Hong Kong. Kemeriahan raya benar-benar dirasai," ujarnya.