Aidil Zafuan tekad teruskan kegemilangan JDT sebagai jurulatih

Astro Arena
Disember 30, 2023 11:40 MYT
AIDIL ZAFUAN: Ia merupakan 11 tahun yang indah bersama JDT sebagai pemain dan memenangi 26 trofi adalah suatu perasaan yang menakjubkan. - Foto Instagram Aidil Zafuan
AIDIL Zafuan Abdul Radzak menegaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak merancang untuk mengendurkan momentum kejuaraan biarpun pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menjelaskan mahu berbelanja lebih berhemah untuk musim depan.
Semalam, bekas pertahanan tengah kebangsaan itu mengumumkan persaraannya sebagai pemain selepas mewakili JDT sejak 2013 dan akan menyertai barisan kejurulatihan bimbingan Hector Bidoglio pada musim depan.
Dalam satu kenyataan semalam di Johor Southern Tigers, Tunku Ismail mengucapkan selamat maju jaya kepada Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.
"Saya menanti langkah seterusnya dalam karier saya bersama JDT," kata Aidil Zafuan.
"Ia merupakan 11 tahun yang indah bersama JDT sebagai pemain, dan memenangi 26 trofi adalah suatu perasaan yang menakjubkan.
"Sudah tiba masanya untuk saya ‘menggantung but’ dan saya bersyukur kerana DYAM Tunku Mahkota Johor menawarkan saya untuk terus berada di sini dalam kapasiti kejurulatihan.
"Saya faham kelab sedang melalui perubahan dengan ramai pemain keluar, dan saya telah melihat dari masa saya di sini bahawa tidak kira apa jua perubahan, kami tetap memenangi trofi.
"Semua ini adalah kerana kestabilan dan visi yang dibawa oleh DYAM TMJ kepada JDT.
"Mari kita nantikan musim hadapan dengan harapan yang diperbaharui dan berusaha untuk meneruskan tradisi kemenangan kita," katanya di Instagram.
#JDT #Liga Super Malaysia #Aidil Zafuan Abdul Radzak #jurulatih
;