Ahmad Zahid ucap tahniah Selangor Red Giants ke final MSC MLBB

Bernama
Julai 14, 2024 22:50 MYT
SRG menjadi pasukan pertama dari Malaysia layak ke final MLBB 2024 selepas menewaskan Flash NIP dari Singapura pada aksi separuh akhir semalam. - Foto Facebook Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada Selangor Red Giant (SRG) kerana berjaya ke final kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi hari ini.
Beliau berkata perjalanan luar biasa dan pencapaian cemerlang pasukan e-sukan itu di pentas antarabangsa membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
"Tidak kira apa juga keputusannya nanti, anda telahpun melakar kejayaan besar dengan membuatkan rakyat Malaysia berasa bangga. Dedikasi, kemahiran dan semangat anda benar-benar memberi inspirasi.
"Saya doakan kejayaan anda dalam perjuangan mencipta sejarah. Jadi yang terbaik, capai kejayaan dan anda tahu seluruh negara menyokong anda. Tetapkan sasaran yang tinggi SRG dan terus membuatkan kami bangga," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
SRG menjadi pasukan pertama dari Malaysia layak ke final MLBB 2024 selepas menewaskan Flash NIP dari Singapura pada aksi separuh akhir semalam.
Dalam perlawanan menggunakan format 'best of five' itu, anak buah Michael Bocada yang lebih dikenali sebagai Arcadia memulakan aksi dengan kemas untuk menang mudah 15 'kills' berbalas lapan dalam tempoh hampir 15 minit.
SRG meneruskan memontum kemenangan dalam perlawanan kedua apabila hanya mengambil masa 12 minit untuk meraih mata 19 'kills' berbalas sembilan.
Bagaimanapun, di awal perlawanan ketiga SRG sedikit goyah sebelum bangkit untuk seri 17-17 dan layak ke final.
Pasukan Malaysia akan berdepan cabaran pasukan Falcons AP Bren Sport yang menewaskan Liquid Echo 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Khamis.
-- BERNAMA
#Selangor Red Giants #SRG #mlbb #Mobile Legends #Ahmad Zahid Hamidi