Ahmad Shapawi tidak promosi diri sebagai adiwira - Khairy

Bernama
Disember 18, 2014 13:53 MYT
Ahmad Shapawi tidak promosi diri sebagai adiwira - Khairy - Foto BERNAMA
Sikap tidak mempromosikan diri sebagai 'Superman' ketika sesi temuduga jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memilih Ahmad Shapawi Ismail selaku peneraju MSN yang baharu.
Khairy berkata Ahmad Shapawi yang menyandang jawatan Pesuruhjaya Sukan Malaysia mempunyai wawasan yang jelas berkenaan dengan penyelarasan pembangunan sukan negara selain kepakaran beliau dalam pentadbiran sukan dan agensi kerajaan.
Pada sesi temuduga itu juga, selain sasaran jangka panjang, Khairy berkata Ahmad Shapawi juga jelas dengan sasaran jangka pendek khususnya menjelang Sukan SEA ke-28 di Singapura yang hanya tinggal enam bulan sahaja lagi.
"Saya nampak dalam interviu, beliau mempunyai satu sikap yang dapat mengutamakan matlamat dan KPI (indeks penunjuk prestasi). Ada beberapa pemohon yang menunjukkan mereka mahu melakukan segalanya dan boleh buat segalanya.
"Satu yang amat baik dan menarik tentang Shapawi adalah beliau tidak mahu mempromosikan diri sebagai Superman yang mampu menyelesaikan semua masalah tetapi pada masa yang sama beliau menyatakan sasaran yang boleh dicapai," kata Khairy kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengurus MSN di sini hari ini.
Menurut Khairy, KBS telah menyenarai pendek lapan daripada 40 pemohon termasuk seorang calon daripada luar negara yang terdiri daripada pensyarah kanan, pentadbir sukan luar negara serta pegawai tinggi kerajaan.
"Pengambilan jawatan ketua pengarah MSN kali ini dijalankan secara terbuka di mana kita tidak hadkan kepada pegawai MSN atau KBS, tapi kita betul-betul hendak cari yang terbaik di seluruh dunia untuk jadi Ketua Pengarah," katanya, yang yakin dengan kemampuan Ahmad Shapawi untuk mengemudi MSN untuk tempoh dua tahun.
Ahmad Shapawi, 51, diumumkan sebagai Ketua Pengarah MSN yang baharu berkuat kuasa esok, bagi menggantikan penyandangnya Datuk Seri Zolkples Embong, yang dilantik selaku Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017.
Ahmad Shapawi mempunyai pengalaman luas di MSN termasuk pernah menjadi Pegawai Belia dan Sukan sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) dan seterusnya dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Bahagian Latihan Atlet di MSN pada 1988 dengan jawatan tertinggi selaku pengarah bahagian atlet pada 2007 yang membolehkannya terbabit secara langsung dalam Program Jaya 98, Gemilang 2001 dan Doha 2006.
Ahmad Shapawi mempunyai kelulusan ijazah sarjana dalam pengurusan sukan dari Univeristy of the West of England serta lulusan diploma dan ijazah sarjana muda Sains (Ekonomi Sumber) dari Universiti Putra Malaysia.
Kekosongan jawatan Ketua Pengarah MSN diiklankan pada 4 Nov di laman web rasmi Kementerian Belia dan Sukan bagi mencari pengganti Zolkples susulan prestasi hambar kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.
Kontinjen negara gagal mencapai sasaran pingat emas di kedua-dua temasya itu iaitu kurang satu daripada enam emas di Glasgow, manakala di Incheon, Malaysia sekadar mendapat lima emas daripada lapan yang disasar.
#Ahmad Shapawi Ismail #Khairy Jamaluddin Abu Bakar