Ahmad Khawari dipilih naib presiden AIPS Asia

Bernama
Februari 13, 2016 15:02 MYT
Menurut Khawari, ia adalah penghormatan yang bersesuaian kerana dalam tahun yang sama Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA. - Gambar fail
Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa melakar sejarah apabila dipilih sebagai antara lima naib presiden Persatuan Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) dalam pemilihan kongres tahunan badan itu di Manama, Bahrain pada Jumaat.
Pemilihan itu adalah untuk penggal 2016 hingga 2020.
Seramai 28 wakil dari 33 buah negara yang berdaftar dengan badan induk kewartawanan sukan Asia itu hadir pada kongres dan pemilihan itu.
Pada pemilihan yang berlangsung semasa Kongres Tahunan kali ke-18 badan itu, Ahmad Khawari dipilih bersama empat lagi calon dari China, Iran, Qatar dan Arab Saudi.
"Ini adalah satu pengiktirafan kepada bidang kewartawanan sukan Malaysia dan saya anggap ia sebagai satu amanah yang akan saya tunaikan dengan sebaik mungkin untuk memastikan nama dan juga martabat negara Malaysia mampu diiktiraf di pentas Asia," katanya dalam satu kenyataan.
Pada pemilihan tersebut, Presiden Jawatankuasa Penulis Sukan Bahrain, Muhammad Qassim dipilih sebagai presiden baharu AIPS Asia.
Pemilihan itu turut menyaksikan wakil Pakistan, Amjad Malik Aziz dipilih sebagai setiausaha agung manakala jawatan bendahari Niranjan Rajbanshi dari Nepal.
Lapan kerusi eksekutif pula diisi oleh Jepun, Korea Selatan, Mongolia, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Kazakhstan, Macau dan Palestin.
Dalam pada itu, Kuala Lumpur turut diberi mandat untuk menganjurkan Kongres Tahunan AIPS Asia ke-19 tahun hadapan.
Menurut Khawari, ia adalah penghormatan yang bersesuaian kerana dalam tahun yang sama Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA.
"Tahun 2017 akan menjadi tahun istimewa kepada sukan negara. Dengan amanah selaku tuan rumah Kongres AIPS Asia ke-19, ia bermakna SAM juga akan sama-sama memainkan peranan untuk memeriahkan tahun yang mampu menjadi detik gemilang sukan negara.
"Saya percaya dengan bantuan seluruh pihak, terutama daripada Kementerian Belia dan Sukan, agensi-agensi berkaitan serta seluruh warga ahli SAM, ianya akan mampu dijayakan dengan berkesan," katanya.
#Ahmad Khawari Isa melakar sejarah apabila dipilih sebagai antara lima naib presiden AIPS Asia dalam pemilihan kongres tahunan #Amjad Malik Aziz #Bahrain #Manama #Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)
;