Ahmad Ismail kekal presiden PSM

Bernama
Jun 24, 2018 04:45 MYT
Ahmad berharap calon yang tewas tidak berkecil hati dan terus menyumbang bakti bersama-sama jawatankuasa tertinggi PSM dalam memartabatkan semula sukan sepak takraw negara. - Gambar fail
Datuk Seri Ahmad Ismail kekal sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi penggal 2018-2021 pada mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu pada Ahad.
Beliau yang menyandang jawatan itu sejak 2002, meraih 51 undi untuk menewaskan pencabarnya yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran yang mendapat 16 undi.
Jawatan Timbalan Presiden turut menyaksikan penyandang, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berjaya mempertahankan jawatannya itu setelah meraih 51 undi untuk mengatasi Presiden Persatuan Sepak Takraw Perlis, Syed Ararini Syed Ahmad Al Edroos yang memperoleh 14 undi.
Tiga jawatan Naib Presiden pula diisi Datuk Abdul Halim Suleiman serta dua muka baharu, Datuk Awang Sham Amit dan Datuk Mohd Sumali Reduan.
Abdul Halim meraih undian tertinggi dengan memperoleh 62 undi, diikuti Awang Sham (53) dan Mohd Sumali meraih 51 undi.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan, Ahmad berharap calon yang tewas tidak berkecil hati dan terus menyumbang bakti bersama-sama jawatankuasa tertinggi PSM dalam memartabatkan semula sukan sepak takraw negara.
"...yang menang tidak dapat apa-apa dan yang kalah bukan hilang apa-apa. Jawatan bukan pangkat untuk kami banggakan, tetapi ia amanah dan tanggungjawab yang mesti kami laksanakan.
"Jadi, saya meminta sahabat saya (Markiman) dan semua untuk terus tampil, datang bersama-sama ke PSM dan membantu kami membangunkan sukan sepak takraw tanah air," katanya.
Sementara itu, beliau turut berkongsi idea dan pembaharuan yang bakal dilaksanakan PSM pada masa akan datang.
"Liga Sepak Takraw (STL) akan diteruskan dengan beberapa pembaharuan antaranya memperkenalkan STL Belia yang bakal menjadi platform mencungkil bakat-bakat muda.
"Selain itu, satu pasukan terbaik daripada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) akan diberi tempat untuk turut sama beraksi dalam saingan STL Divisyen Satu," katanya.
Untuk rekod, PSM diterajui Ahmad sejak 16 tahun lepas, sebelum ini terpalit dengan beberapa tohmahan susulan pelbagai masalah yang melanda sehingga mencetuskan kepincangan dalam persatuan itu selain memberi kesan terhadap prestasi pasukan kebangsaan.
Berikut keputusan pemilihan pada AGM PSM yang berlangsung pada Ahad:
Presiden:
Datuk Seri Ahmad Ismail (51 undi)
Datuk Markiman Kobiran (16 undi)
Timbalan Presiden:
Datuk Akramuddin Abdul Aziz (51 undi)
Syed Ararini Syed Ahmad Al Edroos (14 undi)
Naib Presiden:
1. Datuk Abdul Halim Suleiman (62 undi)
2. Datuk Awang Sham Amit (53 undi)
3. Datuk Mohd Sumali Reduan (51 undi)
4. Abdul Razak Rahman (12 undi)
5. Syed Husain Syed Abu Bakar Al Edroos (11 undi)
-- BERNAMA
#agm #Ahmad Ismail #jawatankuasa #Markiman Kobiran #Mesyuarat Agung Tahunan #Persatuan Sepak Takraw Malaysia #presiden #PSM #sepak takraw #undian
;