Ahmad Fauzi Saari mahu berehat di kampung

Bernama
Januari 27, 2013 14:13 MYT
Ahmad Fauzi Saari yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Km407.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah ke Ipoh, dekat Lembah Beringin, Hulu Selangor awal pagi tadi mahu berehat di kampungnya di
Kulim sehingga pulih.
Pemain Felda United ini yang patah tangan kanan dalam kemalangan 1.40 pagi berkata beliau tidak pasti berapa lama perlu berehat sebelum dapat beraksi semula.
"Saya akan meneruskan rawatan susulan di hospital di sini dan akan berehat di kampung saya di Kulim," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Kampung Bukit Lala di sini selepas pengkebumian rakan beliau Muhammad Khairul Adnan Zakaria, 26, yang maut dalam kemalangan itu.
Ditanya tentang kemalangan itu, bekas pemain Kedah ini berkata beliau berkata ia berlaku terlalu pantas tanpa beliau sedari bagaimana ia berlaku.
"Apa yang saya ingat, keadaan jalan agak berlopak dan basah. Kami berdua tidak mengantuk ketika kejadian berlaku," tambahnya.
Menurut polis Hulu Selangor, kereta BMW yang dipandu Muhammad Khairul Adnan dipercayai hilang kawalan dan terbabas semasa melalui satu selekoh sebelum merempuh penghadang jalan dan terbakar.
Muhammad Khairul Adnan dilaporkan meninggal di tempat kemalangan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu. Ahmad Fauzi turut menerima rawatan di hospital itu.
Beliau berkata mereka dibantu sepasang suami isteri selepas kemalangan.
"Pasangan tersebut membantu mengeluarkan Muhammad Khairul Adnan (dari kereta). Saya tidak pasti ketika itu sama ada dia masih hidup atau tidak. Dia mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala," katanya.
#Ahmad Fauzi Saari #Felda United