Ahmad Faizal seru sektor awam dan swasta luaskan kemudahan untuk golongan OKU

Raja Hisyam Raja Zaid
September 6, 2021 17:38 MYT
Ahmad Faizal (dua dri kiri) berkata, atas kecemerlangan yang ditunjukan oleh atlet Paralimpik, sepatutnya ruang yang lebih luas harus diberikan oleh pebagai pihak dan sektor agar peranan mereka lebih mendapat tempat dan keutamaan. - Foto Astro AWANI
SEPANG: Semua pihak perlu bersama-sama berusaha dan menilai pendekatan seterusnya yang boleh dilakukan dalam memberi kemudahan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata demikian, ketika menyambut ketibaan kontinjen Paralimpik negara yang telah menamatkan saingan di temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada petang Isnin, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Ahli keluarga Paralimpik kita yang kini dikenali di seluruh dunia sebagai 'We The 15', yang mewakili 15 peratus iaitu bersamaan 1.2 billion penduduk dunia, mesti diberikan hak yang setara seperti setiap warganegara Malaysia.
"Kita mesti bertindak sekarang, hari ini. Sehubungan itu, dalam kita meraikan kecemerlangan atlet Paralimpik ini yang menjadi kebanggaan negara, saya menyeru kepada semua pihak untuk bersama-sama berusaha dan menilai apa lagi pendekatan yang boleh dilakukan dalam memberi kemudahan kepada golongan berkenaan, sama ada di sektor awam mahupun swasta," ujar Ahmad Faizal dalam satu sidang media.
Tambah Ahmad Faizal, atas kecemerlangan yang ditunjukan oleh atlet Paralimpik, sepatutnya ruang yang lebih luas harus diberikan oleh pebagai pihak dan sektor agar peranan mereka lebih mendapat tempat dan keutamaan.
"Saya percaya penghargaan kepada kejayaan ini sahaja tidak memadai kerana masih ada ruang untuk diperbaiki dan boleh dilakukan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakan golongan kurang upaya di negara ini. Sebagai sebuah keluarga, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu golongan OKU.
"Usaha untuk membangunkan atlet Paralimpik tidak hanya terletak kepada Kementerian Belia dan Sukan sahaja. Pendekatan secara holistik segenap lapisan masyarakat bermula dengan usahasama serta kerjasama kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri.
[TERKINI] Sidang media Menteri Belia & Sukan
"Sudah tiba masanya untuk ada pindaan kepada Akta Orang Kurang Upaya 2008, bagi mengambil kira dan merapatkan jurang sedia ada berdasarkan peredaran pesat yang dikecapi negara ketika ini, demi memberi lebih kemudahan dan akses kepada golongan berkenaan," ujar beliau.
Kontinjen Paralimpik negara selamat tiba di tanah air kira-kira jam 4.40 petang.
Selepas mengharumkan nama negara dengan pencapaian mengagumkan, ketibaan tiga atlet bersama pegawai dan jurulatih mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA ) di sini disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, pegawai pengiring serta petugas media.
22 atlet Paralimpik negara yang menamatkan kempen saingan semalam pulang selepas menuai tiga pingat emas menerusi Bonnie Bunyau Gustin bagi acara angkat berat, Cheah Liek Hou badminton dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh yang berlangsung dua hari lalu.
Manakala dua perak adalah sumbangan oleh atlet boccia negara, Chew Wei Lun dan seorang lagi atlet angkat berat negara Jong Yee Khie.
BACA: Paralimpik Tokyo 2020: Malaysia akhirnya capai sasaran pingat
Dalam edisi di Tokyo, Malaysia sebenarnya mampu meraih empat emas jika kemenangan jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli tidak dibatalkan akibat masalah teknikal selepas memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali.
BACA: "Saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku" - Jurulatih Ziyad
Bagaimanapun pencapaian skuad Paralimpik negara pada Paralimpik Tokyo 2020 kali ini boleh dibanggakan selepas tiga emas diperolehi adalah dari lapangan berbeza berbanding Rio 2016.
Buat pertama kalinya kejayaan merangkul pingat emas tidak lagi bersandarkan atlet di lapangan olahraga bahkan turut membabitkan badminton, angkat berat dan boccia.
Wira atlet para yang memenangi pingat di Tokyo 2020 kali ini juga akan menerima imbuhan insentif yang telah dijanjikan namun Abdul Latif Romly dianggap paling berjaya kerana muncul selaiu atlet pertama negara menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) sebanyak RM2juta selepas memperolehi emas di Rio 2016 dan Tokyo 2020.
#atlet paralimpik #KLIA #Paralimpik Tokyo #wira negara
;