Ahmad Faizal sah Presiden Pafa
Abd Razak Mohd Ali
Disember 6, 2018 23:11 MYT
Disember 6, 2018 23:11 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebagaimana diputuskan kongres luar biasa (EGM) yang bermesyuarat malam ini.
EGM itu turut mengesahkan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman sebagai Timbalan Presiden Pafa.
Tiada agenda lain yang dibincangkan dalam mesyuarat yang berlangsung tidak sampai 30 minit itu kecuali pengesahan jawatan Ahmad Faizal dan Zainal Azman.
Ahmad Faizal dalam ucapan penutupnya meminta semua pihak kembali bersatu demi kemajuan bola sepak negeri.
"Tutup cerita lama dan buka buku baru. Kita satu keluarga, mari kita bergerak maju ke hadapan," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada perwakilan dari 18 ahli gabungan yang telah mencalonkan kedua-dua mereka untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Datuk Adly Shah Ahmad Tah.
Pada EGM itu juga, Pafa menerima tajaan bernilai RM1 juta dari Syarikat KL Teh Land and Development Sdn Bhd.
Kongres luar biasa itu diadakan susulan peletakan jawatan Hasnul sebagai presiden PAFA pada 8 Nov lalu bagi memberi tumpuan kepada kerjaya beliau selaku ahli politik dan exco kerajaan negeri.
Manakala, Adly Shah pula meletak jawatan sebagai timbalan presiden Pafa pada 13 Nov lalu.
#Ahmad Faizal Azumu
#bola sepak
#EGM
#Hasnul Zulkarnain Abd Munaim
#letak jawatan
#mesyuarat
#PAFA
#Perak
#presiden
#timbalan presiden
#Zainal Azman Abu Seman