Aguero: Tidak akan ada sehebatnya di Etihad

Astro Arena
Mei 25, 2021 12:01 MYT
Sergio Aguero dilambung ke udara ketika pasukannya meraikan kejayaan memenangi EPL selepas perlawanan antara Manchester City dan Everton di Stadium Etihad, Manchester, 23 Mei, 2021. (Foto AP)
PASTINYA bercampur-baur perasaan penyokong Manchester City – dalam pada mereka meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), mereka terpaksa mengucapkan selamat jalan kepada seorang legenda, Sergio Aguero.
Mungkin sudah suratan takdir, Aguero menjaringkan gol sebanyak dua kali sewaktu menentang Everton kelmarin untuk menjadikan jumlah jaringannya sebanyak 184 gol, sekali gus memecahkan rekod yang dahulunya dipegang Wayne Rooney, penyerang dari pasukan seteru tradisional, Manchester United.
Dalam temu bual pasca perlawanan bersama BBC, pengurus City, Pep Guardiola, ternyata sangat terharu sehingga berlinang air matanya.
"Sergio adalah seorang insan yang cukup istimewa dan perlawanan hari ini cukup sempurna untuknya.
"Dia seseorang yang cukup baik, teramat baik, kami tidak mungkin akan dapat menggantikan tempatnya dengan sesiapa pun.
"Sabtu lalu, saya berkesempatan berbual dengannya dan saya bertanya 'Macam mana Sergio? Adakah kecederaan kamu masih membelenggu? Kamu mahu main dari permulaan atau pada separuh masa kedua?'
"Dia beritahu saya yang dia mahu dimasukkan pada 30 minit terakhir, tetapi dia tidak beritahu saya yang dia hanya perlukan tiga minit untuk menjaringkan dua gol!" ujar Guardiola.
Namun, di sebalik segala kegembiraan tersebut, Guardiola turut sempat berkongsikan satu maklumat penting.
"Mungkin saya boleh dedahkan satu rahsia di sini, Sergio hampir pasti menyertai Barcelona untuk bergandingan dengan pemain terbaik dunia, Lionel Messi.
"Saya pasti dia akan bergembira di sana dan mungkin Barcelona akan menjadi lebih kuat dengan kehadirannya nanti."
Perlawanan menentang Everton itu adalah kali terakhir Aguero beraksi di Stadium Etihad, namun dia masih berpeluang untuk melakar sejarah lebih lanjut sewaktu menentang Chelsea dalam final Liga Juara-Juara UEFA di Estádio do Dragão, Sabtu ini.
Dalam satu majlis yang dianjurkan khas untuknya sejurus selepas upacara meraikan kemenangan kelmarin, Aguero memberikan ucapan ringkas sambil tersenyum lebar: "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang, terutama kakitangan kelab dan semestinya peminat setia Manchester City."
Dia dihadiahkan dengan jersi replika yang memaparkan detik gol paling masyhur dijaringkannya sewaktu menentang Queens Park Rangers pada 2012 -- minit 93:20 -- serta tiket musim seumur hidup.
Bagi mengabadikan jasanya, satu tugu dirinya turut bakal didirikan di hadapan Stadium Etihad.
Setelah selesai segalanya, Aguero dilambungkan ke udara oleh rakan-rakan sepasukan dan memberikan lambaian terakhir kepada kamera.
Sejujurnya, biarpun pemergian Aguero sudah diumumkan berbulan-bulan lalu, hakikat ini masih agak sukar untuk dihadamkan.
Aguero cukup sinonim dengan City, seperti mana sinonimnya Lionel Messi dengan Barcelona dan Robert Lewandowski bersama Bayern Munich.
Terlintas di fikiran, jika pandemik COVID-19 tidak melanda, mungkinkah Aguero akan tetap terus bersama City sehinggalah ke hari persaraannya? Siapa tahu.
Memandangkan suratan takdir disebut berulang kali dalam artikel ini, wajarlah ia diakhiri dengan satu petikan yang turut melambangkan ketentuan juga.
Dalam temu bual bersama akhbar The Daily Mail pada Jun tahun lalu, Aguero mendedahkan satu rahsia di sebalik gol kemenangan yang dijaringkannya ketika menentang QPR.
"Sebenarnya dalam perlawanan tersebut, saya langsung tak buat apa-apa yang memberangsangkan pun.
"Saya cuma disepak-sepak oleh pemain pertahanan QPR dan hanya mampu terpinga-pinga sepanjang perlawanan.
"Apabila peluang untuk menjaringkan gol tiba pada minit terakhir, saya sebenarnya menyasarkan bola ke haluan lain, tetapi saya tersalah sepak.
"Jika saya sepak dengan betul pada waktu itu, saya jamin bola akan terkena kaki pemain pertahanan dan gol itu tidak akan berlaku."
Sembilan tahun kemudian, suratan takdir jugalah yang memisahkannya dengan City tetapi apa yang pasti, perjalanan Aguero masih belum berakhir.
#Wayne Rooney #Lionel Messi #Bayern Munich #EPL #Manchester United #Chelsea #barcelona #Manchester City #Liga Perdana Inggeris #COVID-19 #pandemik #Sergio Aguero #Selamat Jalan #Pep Guardiola
;