Agong zahir ucapan tahniah kepada Nicol dinobat Atlet Terunggul Sepanjang Zaman
Astro Awani
Februari 2, 2021 16:18 MYT
Februari 2, 2021 16:18 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David yang dinobatkan pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa bangga atas kejayaan tersebut yang mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa Malaysia mampu melahir atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa,” demikian titah baginda dalam kenyataan tersebut.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan semoga kejayaan itu menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat untuk turut berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing dalam negara mahupun di peringkat global.
Bekas atlet kelahiran Pulau Pinang itu berjaya meraih anugerah berkenaan selepas mendapat sebanyak 318,943 undian sekali gus mengatasi 23 atlet lain.
Nicol, 37, merupakan calon tunggal Asia yang meraih tempat pertama, diikuti oleh legenda tarik tali Ireland, James Kehoe dan atlet powerlifting wanita dari Ukraine, Larysa Soloviova.
#Nicol David
#Yang di-Pertuan Agong
#ucapan tahniah
#Skuasy
#anugerah
#Al-Sultan Abdullah
#Istana Negara
#sukan
#Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia