AGM KLHA: Tandatangan didakwa palsu, sebuah persatuan hoki digantung
Astro Arena
Januari 23, 2025 06:20 MYT
Januari 23, 2025 06:20 MYT
BERBAKI dua hari lagi, timbul isu hangat apabila terdapat dakwaan pemalsuan tandatangan dalam borang pencalonan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Sabtu ini.
Difahamkan, tindakan itu dipercayai dilakukan oleh Persatuan Pendidikan Sukan Hoki Kuala Lumpur atau lebih dikenali (HOCKACADEMY).
Justeru, agenda utama AGM iaitu pemilihan jawatankuasa eksekutif menyaksikan penyandang presiden, I. Vikneswaran, membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Balai Polis Pantai, Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.
“Borang yang diisi itu tidak betul kerana mempunyai perbezaan tandatangan di mana salah seorang daripada mereka tidak memberi keizinan untuk menyertai AGM tetapi namanya diisi.
"Apabila tuan badan memberi keterangan sambil menegaskan tandatangan itu bukan miliknya, jadi banyak perkara telah bercanggah," katanya ketika sidang media di Stadium Hoki Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Pengerusi AGM, Datuk Michael Wong Men San, turut memberi perkongsian mengenai percanggahan yang dikenal pasti pada borang tersebut.
"Secara terperinci, keseluruhan, saya mengeluarkan keputusan kepada majlis bahawa kami akan menolak pencalonan HOCKACADEMY.
"Satu laporan polis dibuat terhadap pemalsuan.
"Yang terakhir, menggantung persatuan itu sebagai tindakan selanjutnya," katanya di Nadi Arena.