Agi idup agi ngelaban! Saya tunggu masa naik pentas Sukan SEA - Malvern

Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 11, 2022 15:05 MYT
Tiga atlet bina badan negara dari Sarawak Dr Malvern Abdullah, Azri Asmat Sefri dan Buda Anchah membawa misi merangkul pingat emas dalam Sukan SEA Vietnam - Foto Astro AWANI
KUCHING: Perjuangan atlet bina badan negara kelahiran Sarawak, Dr Malvern Abdullah untuk menyumbang pingat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA Vietnam 2021 sudah bermula.
Malvern bersama 10 atlet bina badan termasuk pihak pengurusan diketuai Pengurus Pasukan Syed Fairus Syed Ali telah terbang ke Hanoi, Vietnam jam 12:40 tengahari Rabu dari Kuala Lumpur.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Sarawak itu mengakui segala latihan yang ditempuhi telah berjalan lancar dan hanya menunggu masa untuk naik ke atas pentas pertandingan.
“Saya memang berharap dapat membawa pulang pingat kepada negara tetapi sasaran paling utama ialah pingat yang paling berkilau, iaitu pingat emas.
“Persediaan semuanya berjalan dengan lancar, seperti yang kita rancangkan, dan saya hanya tunggu waktu itu tiba untuk naik ke pentas sebenar, agi idup agi ngelaban,” katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Rabu.
Pemenang pingat perak Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia itu akan berentap dalam dua kategori iaitu bawah 65 kilogram (kg) dan kategori campuran bersama atlet bina badan wanita dari Sabah, Meilaura Dora.
Selain Malvern, dua lagi atlet bina badan Sarawak turut mewakili negara di Sukan SEA Vietnam melalui Buda Anchah kategori 70kg dan Azri Asmat Sefri kategori 55kg.
Kali terakhir sukan bina badan dipertandingkan di Sukan SEA ialah pada tahun 2013 di Myanmar di mana ketika itu Buda berjaya merangkul pingat gangsa melalui kategori 80kg.
Pasukan bina badan Malaysia akan diwakili dua atlet wanita dan lapan atlet lelaki antaranya Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, Kok Gong Tai, Ahmad Fariz Ariffin, Zmarul Al Adam Abdullah, Zainal Arif Zainal Ariffin, dan Muhammad Uzair Mat Noor.
#Sukan SEA Vietnam 2021 #bina badan #Dr Malvern Abdullah #UiTM Sarawak
;