AFF Suzuki: Khairy mohon maaf kepada penyokong Vietnam

Astro Awani
Disember 8, 2014 10:37 MYT
Salah seorang penyokong pelawat kelihatan berdarah selepas dibaling objek keras. - Foto: Facebook/Khairy Jamaluddin
Susulan insiden pergaduhan di antara penyokong kedua-dua pasukan bola sepak tanah air dan Vietnam di Stadium Shah Alam semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin meluahkan ketidakpuashatian beliau terhadap keganasan yang dipamerkan oleh beberapa penyokong Harimau Malaya.
Penyokong kedua-dua pasukan yang duduk tanpa sempadan dilihat tenang sepanjang perlawanan, namun ia bertukar buruk sejurus selepas wisel penamat dibunyikan, menandakan Malaysia tewas di tangan Vietnam 2-1.
Di bawah adalah kenyataan penuh Khairy yang dikeluarkan hari ini:
"Saya mengutuk sekerasnya-kerasnya keganasan yang berlaku di Stadium Shah Alam semasa perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki di antara Malaysia dan Vietnam semalam. Walaupun hanya segelintir daripada penyokong Malaysia yang bertindak ganas dan di luar kawalan itu, kejadian ini tak dapat diterima diterima dan merosakkan imej Malaysia.
"Ini bukan cara orang Malaysia. Keganasan bukan dan tidak pernah menjadi budaya kita. Majoriti penyokong kita bertindak sopan, beradab dan mesra namun yang menyedihkan saya, perlawanan ini akhirnya dicemari dengan insiden buruk sebegini.
"Saya ingin memohon maaf kepada penyokong Vietnam di atas tindakan keji segelintir penyokong Malaysia dan tindakan ini juga dikutuk keras oleh rakyat Malaysia yang lain.
"Saya telah bercakap dengan Timbalan Ketua Polis Negara dan meminta agar polis memberikan kerjasama penuh demi menyegerakan siasatan. Saya berharap semua pihak akan membantu pihak polis mengenalpasti mereka ini lebih-lebih lagi kerana gambar mereka yang terlibat telah disebarkan meluas di media sosial.
"Saya juga telah menghubungi duta Vietnam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Pham Cao Phong dan memohon maaf sekali lagi kepada penyokong Vietnam terhadap apa yang berlaku malam semalam. Saya memberi jaminan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan proaktif dan pantas dalam siasatan mereka.
"Pada masa yang sama, saya memohon kepada Duta Vietnam agar penyokong kita yang akan menyaksikan pusingan kedua di antara Malaysia-Vietnam di Hanoi 11 Disember ini diberikan perjalanan yang selamat. Beliau memberi jaminan bahawa keselamatan mereka akan diberi perhatian oleh pihak berkuasa Vietnam.
"Berhubung dengan kejadian ini, saya menyeru penyokong Malaysia yang akan ke Hanoi untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Walaupun dengan jaminan yang diberikan, keadaan masih tegang. Saya berharap semua yang ke Hanoi bukan hanya berhati-hati tetapi yang lebih penting lagi, bertindak dengan penuh hormat dan tanggungjawab.
"Sukan sepatutnya menyatupadukan kita semua. Piala AFF Suzuki sepatutnya menyatupadukan masyarakat Asia Tenggara di sebalik semangat persaingan yang sihat. Saya bukan hanya kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini, saya juga amat kecewa dengan kegagalan kita untuk menunjukkan kepada semua masyarakat Asia Tenggara bagaimana kita mampu memimpin melalui semangat kesukanan di atas dan di luar padang."
#AFF SUZUKI #gaduh #harimau Malaya #Khairy Jamaluddin #Malaysia #stadium shah alam #Vietnam