AFF Suzuki Cup dan Sukan SEA itu taraf apa? - Lim Teong Kim
Astro Arena
Mac 16, 2016 13:00 MYT
Mac 16, 2016 13:00 MYT
"AFF Suzuki Cup dan Sukan SEA itu taraf apa?"
Itu kenyataan dibuat Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Lim Teong Kim yang mempersoal tindakan sesetengah pihak yang terlalu memandang tinggi dua kejohanan itu.
Beliau melihat dua kejohanan itu sepatutnya menjadi perkara biasa untuk skuad kebangsaan memenanginya.
"AFF Suzuki Cup itu sebenarnya taraf apa? Sukan SEA juga bukan satu pencapaian kerana ia satu perkara biasa dan sememangnya kita sepatutnya menang, dari zaman Soh Chin Aun lagi kita sudah memenangi Sukan SEA," jelas Teong Kim dalam temu bual video salah sebuah media tempatan.
Bekas pengendali bawah 19 tahun Bayern Munich itu berpendapat melayakkan diri untuk Piala Asia barulah boleh dianggap sebagai satu pencapaian.
Di samping itu, Teong Kim mempersoal tindakan sesetengah bekas jurulatih skuad negara yang mengambil sikap mendiamkan diri berkenaan beberapa masalah ketara dialami skuad kebangsaan.
"Rajagobal pernah membangkitkan isu kecergasan yang dihadapi pemainnya ketika dia menjadi pengendali akan tetapi kenapa bekas jurulatih kebangsaan lain mendiamkan diri?," ujarnya.
Teong Kim melihat hanya Rajagobal yang mempunyai pendirian untuk meluahkan perkara yang benar.
"Jurulatih seperti ini yang kita mahukan," jelasnya.