AFCON: 6 terkorban, 40 cedera dalam rempuhan di stadium
Astro Awani
Januari 24, 2022 07:15 MYT
Januari 24, 2022 07:15 MYT
YAOUNDE: Sekurang-kurangnya enam orang terkorban dalam kejadian rempuhan di luar perkarangan stadium semasa perlawanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Cameroon pada Isnin.
Gabenor wilayah tengah Cameroon, Naseri Paul Biya berkata, angka kematian mungkin akan meningkat.
Kejadian berlaku semasa orang ramai berpusu-pusu memasuki Stadium Olembe di ibu kota Cameroon, Yaounde bagi menyaksikan perlawanan antara Cameroon dan Comoros yang bersaing di peringkat kalah mati kelompok 16 terakhir AFCON.
Pihak hospital di Messassi berkata, sekurang-kurangnya 40 individu cedera dalam kejadian tersebut.
"Sebahagian yang cedera itu dalam keadaan kritikal.
"Kami perlu memindahkan mereka ke sebuah hospital khas," kata seorang jururawat, Olinga Prudence.
Pegawai badan bola sepak negara itu berkata, kira-kira 50,000 penonton telah menghadiri perlawanan tersebut.
Jelasnya walaupun stadium berkenaan mampu memuatkan 60,000 penonton, kurang daripada 80 peratus penonton dibenarkan memenuhi stadium akibat sekatan COVID-19.
Cameroon berjaya melangkah ke pusingan suku akhir selepas menewaskan Comoros 2-1.