AFCON 2023 ditunda ke Januari 2024

Astro Arena
Julai 4, 2022 10:00 MYT
Pemain Senegal meraikan kemenangan mereka ke atas Mesir dalam kejohanan merebut Piala Negara-Negara Afrika di Stade dOlembe, Yaounde, Cameroon, 6 Feb 2022. - Gambar fail/Astro ARENA
EDISI terbaru Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) akan mengambil tempat pada Januari hingga Februari 2024 dan bukannya di antara Jun dan Julai 2023, demikian disahkan Presiden Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF), Patrice Motsepe.
Kejohanan bola sepak terbesar di benua Afrika itu sepatutnya akan diadakan di Ivory Coast pada waktu rehat kejohanan-kejohanan di Eropah tahun depan tetapi ancaman banjir besar di negara itu pada waktu berkenaan telah menyebabkan ia sekali lagi akan diadakan sewaktu saingan peringkat kelab sedang berjalan.
Bercakap di ibu negara Maghribi, Rabat, di mana Mesyuarat Jawatankuasa CAF dijalankan, Motsepe berkata: "Kami tidak boleh mengambil risiko.
"Januari bukanlah waktu yang ideal kerana kelab-kelab di Eropah tetapi ia merupakan satu-satunya pilihan yang kami ada," katanya.
Pada 2017, CAF mengumumkan perancangan mereka untuk menganjurkan kejohanan itu di luar musim bola sepak Eropah.
Bagaimanapun, tarikh edisi tahun ini, yang dimenangi Senegal pada Februari lalu, telah dipinda sebanyak dua kali selepas dirancang untuk diadakan pada Jun 2021 dan kemudian pada Jun 2022 gara-gara pandemik COVID-19 dan keadaan cuaca tidak menentu di Cameroon.
#AFCON 2023 #tunda #Patrice Motsepe #Konfederasi Bolasepak Afrika
;