AFC B-23: Pencapaian kita membanggakan, kata Kim Swee

Astro Arena
Januari 21, 2018 22:10 MYT
KIM SWEE: Kami menemui corak permainan serta keyakinan yang tinggi di atas padang.
PERJUANGAN skuad B-23 tahun negara dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 berakhir semalam selepas tewas tipis 2-1 kepada Korea Selatan di Stadium Kunshan, China.
Sekalipun gagal memahat satu lagi sejarah, pencapaian anak buah Datuk Ong Kim Swee tetap membanggakan menerusi kemampuan bersaing hebat dengan beberapa pasukan handalan Asia.
Skuad B-23 negara hadir ke bumi China dengan persiapan lebih rapi berbanding ketika persediaan untuk aksi kelayakan kejohanan tahun lalu.
Berguru dalam cuaca sejuk selama sebulan di Mokpo, Korea Selatan dan tiba awal di China, skuad B-23 negara tampak lebih bersedia untuk cabaran sulung ini.
Namun, skuad negara bermula goyah di Changshu selepas dibelasah 4-1 menentang juara edisi pertama 2013, Iraq, dalam aksi pertama Kumpulan C.
Tidak diletakkan harapan dalam perlawanan kedua bertemu Jordan, skuad negara bangkit mengikat lawan 1-1 untuk satu mata berharga yang menghidupkan peluang mereka ke suku akhir.
Skuad negara kemudian ke Kunshan untuk perlawanan terakhir kumpulan berdepan Arab Saudi dan ternyata bumi Kunshan memberi tuah kepada Malaysia menerusi kejayaan istimewa menumbangkan naib juara 2013 itu 1-0 untuk melakar sejarah baru bola sepak negara.
Namun, hasrat skuad negara untuk membuat kejutan dalam suku akhir tidak kesampaian susulan tewas tipis 2-1 kepada satu lagi pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, sekali gus tersingkir daripada kejohanan.
"Ini merupakan satu pencapaian yang sangat baik, bukan sahaja layak, tetapi kami menemui corak permainan serta keyakinan yang tinggi di atas padang," kata Kim Swee.
Rata-rata pemain negara berjaya menyerlahkan kemampuan masing-masing bersaing di pentas Asia.
Paling mencuri tumpuan, Safawi Rasid muncul penyumbang utama gol skuad negara dalam kejohanan ini dan Danial Amier Norhisham selaku wira dalam kemaraan Malaysia ke suku akhir.
"Apa yang telah dipamerkan oleh Malaysia, kami membuktikan bahawa skuad negara mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain," kata Danial Amier.
#b-23 #bola sepak #China #Korea Selatan #Ong Kim Swee #skuad negara
;