"Adik minat e-sports? Fokus sekolah dahulu" - Ikon e-sukan, Daddyhood
Farhan Hakimi
Oktober 7, 2024 14:10 MYT
Oktober 7, 2024 14:10 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan remaja atau kanak-kanak yang mempunyai minat dalam bidang e-sukan perlu menjadikan pendidikan sebagai asas utama dalam pembentukan kerjaya.
Menurut ikon dan penggiat e-sukan, Nureddy Nursal atau lebih dikenali sebagai Daddyhood, ini kerana ilmu yang diperoleh di institusi pendidikan dapat diaplikasikan dalam bidang tersebut.
Katanya, kesemua ilmu tersebut membantu dari segi pengurusan kontrak, disiplin kehadiran, dan perhubungan awam (PR).
Justeru katanya, pendidikan merupakan elemen kritikal yang tidak seharusnya diabaikan oleh pelajar demi pembangunan kendiri yang mapan.
"Zaman sekarang, ramai remaja yang memilih untuk tidak meneruskan pendidikan formal kerana ingin menjadi pemain e-sukan.
"Ini adalah satu pandangan yang kurang tepat sebab pendidikan tetap penting, dan sebab utama program TVET e-sukan diwujudkan adalah untuk menyediakan laluan yang lebih terarah bagi mereka yang berminat dalam bidang ini.
"Selepas tamat sekolah, untuk menjadi pemain e-sukan profesional, terdapat syarat-syarat tertentu seperti pencapaian akademik yang baik atau minimum kredit tertentu untuk melayakkan mereka memasuki program-program berkaitan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai usaha kerajaan untuk mewujudkan kursus latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang memberi tumpuan khusus dalam e-sukan.
Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memperkasa aspek kejurulatihan dalam bidang tersebut.
"Pada pandangan saya, memulakan program TVET ini adalah langkah yang sangat baik.
"Ia wajar dimulakan dengan kursus kejurulatihan yang lebih komprehensif, termasuk aspek pemakanan, perubatan e-sukan, cara berfikir, serta postur badan yang betul.
"Kesemua elemen ini, saya percaya, telah dimasukkan dalam silibus oleh Malaysia Esports Federation (MESF) dan diterapkan dalam program TVET tersebut.
"Ini akan membantu membentuk atlet e-sukan yang lebih holistik dan bersedia menghadapi cabaran dalam industri ini," katanya lagi ketika menjadi tetamu dalam program AWANI Pagi pada Isnin.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara sebelum ini menyatakan beliau melihat potensi besar industri e-sukan untuk dikembangkan dengan kewujudan TVET khas.
Inisiatif yang bertujuan menyokong ekosistem e-sukan itu berpotensi menjadikan Malaysia antara destinasi e-sukan terkemuka di rantau ini.
Beliau pada Sabtu turut mengumumkan lebih 408,000 pelajar telah mendaftar dalam pelbagai institusi TVET di seluruh negara tahun ini.