Adib tidak alami kecederaan serius, Penang FC mula latihan rutin

Bernama
Februari 13, 2022 22:00 MYT
Pengurus Besar pasukan, Jeffrey Chew berkata Adib (gambar) kini dalam proses pemulihan hasil tindakan pantas pasukan perubatan dan pihak hospital. - Foto Facebook/Adib Raop
GEORGE TOWN: Penang FC hari ini mengesahkan pemain sayap pasukan, Adib Raop mengalami kerosakan tulang rawan dan luka dalam hidung akibat insiden pergaduhan ketika menentang Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan akhir Piala Menteri Besar Terengganu di Kuala Terengganu, Rabu lepas.
Pengurus Besar pasukan, Jeffrey Chew berkata Adib kini dalam proses pemulihan hasil tindakan pantas pasukan perubatan dan pihak hospital.
"Adib dibawa untuk pemeriksaan di sebuah hospital swasta dengan serta-merta setibanya mereka kembali (ke Pulau Pinang) pada keesokan harinya (10 Feb).
"Selepas penilaian perubatan, tiada ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) diperlukan dan beliau disahkan tidak mengalami kecederaan serius selepas pemeriksaan lanjut di hospital," katanya yang dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pasukan Pulau Pinang memandang serius dan mengutamakan keselamatan pasukan serta akan terus memberikan penjagaan sebaik mungkin ke atas pemain.
BACA: Penang FC enggan panjangkan isu pergaduhan atas padang
Dalam pada itu, beliau berkata skuad Harimau Kumbang kini sedang menjalani latihan rutin sebagai persediaan berdepan beberapa perlawanan persahabatan sebelum saingan Liga Super 2022 bermula Mac ini.
Penang FC dijadual menentang Melaka United FC pada 8 Mac di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
-- BERNAMA
#Penang FC #Adib Raop #insiden pergaduhan #Jeffrey Chew #pulau pinang #Terengganu FC II #Piala Menteri Besar Terengganu
;