Adesanya tumpaskan lagenda MMA Anderson Silva di UFC 234
Haider Yutim
Februari 10, 2019 20:20 MYT
Februari 10, 2019 20:20 MYT
JAGUH middleweight Nigeria, Israel Adesanya berjaya mengekalkan rekod tanpa kalahnya selepas menewaskan lagenda MMA dari Brazil, Anderson Silva dalam aksi UFC 234 di Melbourne, pada Ahad.
Kemenangan menerusi keputusan sebulat suara itu melayakkan Adesanya, 29 tahun, yang kini mempunyai rekod 16-0 untuk merebut kejuaraan UFC middleweight dunia.
Dalam pertarungan tersebut, kedua-dua atlet mempamerkan aksi 'stand-up' di sepanjang pusingan pertama hingga ke pusingan ketiga.
Adesanya juga dilihat agak berhati-hati ketika membuat serangan, sementara Silva pula dilihat lebih tenang, sesuai dengan pengalaman 22 tahunnya dalam MMA.
Bagaimanapun petinju muda itu ternyata lebih banyak melakukan tumbukan serta tendangan ke arah lawannya meskipun pertarungan boleh dikatakan agak seimbang.
Pengalaman bertarung dengan Silva juga disifatkan oleh Adesanya seolah-olah bermain bola keranjang dengan Michael Jordan, kerana tidak menyangka dapat bertemu dengan idolanya di gelanggang.
"Pada saya, ia seperti bermain bola keranjang dengan Michael Jordan," katanya penuh emosi.
Kedua-dua jaguh juga saling berpelukan dan memberi tunduk hormat antara satu sama lain selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Presiden UFC Dana White menghadiahkan wang tunai sebanyak AS$50,000 (RM203,452) kepada dua-dua atlet tersebut.
Hadiah itu adalah sebagai bonus untuk acara tersebut, sambil menyamakan pertarungan antara Adesanya dengan Silva itu seperti filem kung-fu.
#Anderson Silva
#Brazil
#Israel Adesanya
#Melbourne
#Michael Jordan
#middleweight
#MMA
#New Zealand
#Nigeria
#seni bela diri campuran
#UFC
#UFC 234