Adamas minta PABM kaji semula hukuman terhadap Constantine, Nasir
Astro Arena
Jun 19, 2016 21:49 MYT
Jun 19, 2016 21:49 MYT
KETUA Unit Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas), S. Nishel Kumar, tidak bersetuju dengan keputusan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menggantung dua atlet mereka selama dua tahun kerana dianggap terlalu ringan untuk kesalahan positif doping.
Adamas meminta PABM mengkaji semula hukuman mereka terhadap Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan.
Kedua-dua atlet itu digantung dua tahun selepas positif steroid ketika kem latihan pusat di China, April lalu.
Mengikut peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA), mana-mana kesalahan membabitkan steroid perlu digantung sekurang-kurangnya empat tahun, sama seperti jaguh bina badan negara, Sazali Samad.
"Kesalahan yang atlet angkat berat ini buat memang tidak boleh beri kurang dari empat tahun. Jadi, memang kena beri empat tahun. Kalau mereka beri kurang, kita dapat laporan, kita akan minta PABM nilai balik keputusan itu," katanya.
Setiausaha Kehormat PABM, Pang Siew Huat, pula mempertahankan bahawa pihaknya sudah merujuk kepada WADA sebelum menjatuhkan penggantungan dua tahun ke atas Constantine dan Nasir.
Namun, ia menimbulkan keraguan kerana bahan digunakan ialah steroid kategori S1, sekali gus perlu digantung sekurang-kurangnya empat tahun jika didapati bersalah.
Pada Jumaat lalu, Sazali mempertikaikan hukuman ke atasnya yang dianggap terlalu berat berbanding Constantine dan Nasir walaupun membabitkan kes sama, iaitu positif steroid, kesalahan pertamanya dan diuji ketika di luar pertandingan.
#ADAMAS
#atlet angkat berat
#Constantine Clement
#doping
#Hukuman
#Mohd Nasir Roslan
#sukan angkat berat