Adam, pemain termuda Malaysia bagi JWC 2023

Bernama
November 29, 2023 08:00 MYT
Muhammad Adam Ashraf berkata peluang yang diberikan akan digunakan sebaik mungkin bagi menyerlahkan bakat dan membuktikan kemampuannya. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain tengah berusia 17 tahun, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menjadi pemain termuda dalam pasukan hoki Malaysia untuk cabaran Piala Dunia Remaja (JWC) Lelaki 2023 bermula 5-16 Dis di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Berdasarkan senarai 20 pemain termasuk dua pemain simpanan yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak pada Selasa, 18 pemain daripada skuad Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 baru-baru ini dikekalkan.
Mereka turut disertai pemain tengah, Muhammad Addy Jazmi Jamlus dan Muhammad Danish Danial Abdul Wahab, yang mengalami kecederaan sebelum ini.
JWC adalah kejohanan dwitahunan bagi pemain berusia 21 tahun ke bawah, yang menampilkan 16 negara bersaing untuk kejuaraan
Sementara itu, Muhammad Adam Ashraf berkata peluang yang diberikan akan digunakan sebaik mungkin bagi menyerlahkan bakat dan membuktikan kemampuannya.
"Ketika mula-mula dipanggil menyertai pasukan, saya rasa tak yakin kerana muda lagi dan tak sangka kerana perlu bersaing dengan pemain lebih tinggi usia. Namun, selepas pengalaman setahun bersama pasukan di SOJC, Piala Remaja Asia dan Sukan SEA, kini saya lebih yakin untuk pamerkan aksi yang diharapkan buat negara.
"Bagi saya, prestasi pasukan bertambah baik, setiap pemain telah menunjukkan peningkatan menjelang JWC ini," kata pemain berasal dari Tumpat, Kelantan itu ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman skuad JWC di sini pada Selasa.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhamad Amin Rahim turut yakin dengan potensi dimiliki Muhammad Adam Ashraf dan dipilih ke dalam pasukan kerana prestasi baik yang ditampilkan.
Muhamad Amin berkata setiap pemain dipilih berdasarkan beberapa kriteria utama iaitu kemahiran hoki, fizikal dan skil khas seperti jaringan pukulan sudut penalti.
Beliau berkata walaupun anak-anak buahnya sekadar menamatkan saingan SOJC di tempat ketujuh daripada lapan negara bertanding di Johor Bahru awal bulan ini, banyak aspek positif yang dapat dilihat dalam pasukan.
"Saya nampak pemain sangat bermotivasi, post mortem selepas SOJC juga menunjukkan banyak aspek positif. Suasana dalam pasukan pun baik dan mereka sedia untuk meningkatkan diri setiap hari.
"Dalam masa seminggu ini, kita akan perbaiki beberapa perkara, meskipun tak dapat buat perubahan besar," katanya sambil menambah skuad negara akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang India pada Ahad ini.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan membuka kempen menentang Chile pada Selasa ini, diikuti aksi ke atas juara bertahan Argentina pada 6 Dis dan menutup peringkat kumpulan menentang juara 1997 Australia pada 8 Dis.
Senarai pemain yang dipilih:
NO
NAMA
POSISI
1
MOHAMAD RAFAIZUL MOHAMAD SAINI
PENJAGA GOL
2
MUHAMMAD DANISH AFNAN MOHD FAIZAL
PENJAGA GOL
3
MUHAMAD FARIS HARIZAN
PERTAHANAN
4
AZMILMUIZZUDDIN MISRON
PERTAHANAN
5
ANDYWALFIAN JEFFRYNUS
PERTAHANA+
N
6
WAN MUHAMMAD NAJMIE AHMAD DZAIB
PERTAHANAN
7
AHMAD SUHAIMI KAMARUDDIN
PERTAHANAN
8
ALFARICO LANCE LIAU JR
TENGAH
9
MUGHNI MOHAMAD KAMAL
TENGAH
10
MUHAMMAD ADAM ASHRAF MOHD JOHARI
TENGAH
11
MUHAMMAD DANISH AIMAN KHAIRIL ANUAR
TENGAH
12
MUHAMMAD ADDY JAZMI JAMLUS
TENGAH
13
MUHAMMAD DANISH DANIAL ABDUL WAHAB
TENGAH
14
SHAHMIE IRFAN SUHAIMI
PENYERANG
15
SHAFIQ IKHMAL DANIEL SUZAINI
PENYERANG
16
MOHAMMAD HARRIS ISKANDAR OSMAN
PENYERANG
17
MOHAMAD SHAMIR RIZMI SHAMSUL
PENYERANG
18
CHE NUR AQILRULLAH CHE MOHD KHAIRULZI ANWAR
PENYERANG
SIMPANAN
19
ESWARAN GEORGE
PENYERANG
20
MUHAMMAD KHAIRUL NORIZAM
TENGAH
-- BERNAMA
#Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari #pemain termuda #piala dunia remaja #hoki Malaysia
;